Susah sangatkah bersihkan meja lepas makan?

Susah sangatkah bersihkan meja lepas makan?

Meninggalkan pinggan, tisu kotor, sampah dan segala sisa makan di atas meja selepas perut kenyang, sikap majoriti rakyat Malaysia.

makan-kotor
fmt-ohsem-inside-article1Pernah lihat “Mat Saleh” mengemas meja makan sendiri, angkat talam, lap meja dengan tisu dan buang sampah serta sisa makanan di tong sampah yang disediakan selepas makan di mana-mana restoran?

Itu contoh nilai murni yang diamalkan di barat, yang pastinya langsung tidak menjadi budaya dan amalan di Malaysia. Keras, tetapi itulah realiti yang menyedihkan.

Sebagai contoh, memastikan tandas awam bersih dan kering selepas digunakan, meletak semula troli pasaraya di tempat yang disediakan selepas digunakan, tidak merokok di tempat awam, memberi ruang kepada orang yang keluar daripada tren terlebih dahulu dan banyak lagi etika moral lain.

Nampaknya masyarakat barat di Eropah dan United Kingdom serta negara maju lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Singapura lebih terkehadapan dalam kesusilaan dengan rakyatnya menuju ke arah mentaliti kelas pertama.

Kita yang kononnya masyarakat yang penuh santun dan adab pula, tidak mengemas meja sendiri yang dikotorkan selepas makan, inikan pula mahu mengikut amalan murni yang lain.

“Kan ada tukang cuci, ada tukang kemas, buat apa mereka dibayar gaji, kalau aku yang nak kemas sendiri,” itulah pemikiran sesetengah masyarakat kita.

Meninggalkan pinggan, tisu kotor, sampah dan segala sisa makan di atas meja selepas perut kenyang terutamanya di restoran makanan segera, medan selera atau kafe yang mengamalkan konsep layan diri, boleh dikatakan sikap majoriti rakyat Malaysia.

Itu belum lagi meja bersepah dan makanan berterabur bagaikan tongkang pecah, dan kemudian ditinggalkan sebegitu sahaja. Jangan lupa di wakaf atau bangku rehat di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) misalnya juga menyaksikan perkara yang sama.

Bukan setakat itu, kita menganggap merokok di tempat makan sebagai sesuatu yang lazim walaupun ia kurang dienangi oleh orang lain.

Kita tidak kisah dengan perokok yang selamba membuang abu dan puntung rokok atas meja atau lantai dan sehinggakan ada yang meninggalkannya di dalam pinggan mangkuk.

Sedihnya, perkara sebegini sudah dianggap lumrah. Lebih menyedihkan, mana-mana individu yang rela membersihkan meja sendiri pula dipandang sinis dan kadang-kadang ditertawakan.

Mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan selepas makan di mana-mana tempat sekalipun, kita meninggalkan semuanya di atas meja atau campak ke lantai meskipun tong sampah dan tempat letak pinggan mangkuk hanya beberapa langkah daripada kita.

Dalam otak kita, kerja mengemas meja bukan tanggungjawab kita, tetapi tanggungjawab petugas restoran atau tukang cuci yang dibayar gaji.

Benar, ada pekerja yang akan membersihkannya tetapi di mana ketamadunan kita sebagai manusia? Memang kita bayar bagi makanan itu, tetapi adakah itu lesen besar untuk kita menjadi pengotor dan pemalas?

Jika anda boleh melayan diri anda dengan membuat pesanan sendiri dan mengangkat dulang makanan ke meja sendiri, mengapa tidak mengutip sisa makanan yang anda sendiri sepahkan, lantas mengemas meja dan membuang sampah ke tempat sepatutnya?

Paling malas, mengapa tidak satukan semuanya dalam talam, agar mudah pekerja mengemas, bukannya membiarkannya berselerak.

Bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai sensitiviti dan mentaliti terpuji, mungkin kita sentiasa perlu diingatkan meskipun masing-masing sudah punya akal.

Di rumah pun selepas makan, kita angkat pinggan dan kemas meja sendiri bukan? Maka kenapa tidak kekalkan sikap sebegitu ketika berada di luar? Ia juga melambangkan kita sebagai anggota masyarakat yang berpekerti mulia.

Pastinya pekerja sama ada makcik-makcik, achi, uncle, orang kelainan upaya (OKU) atau pekerja asing pun turut berterima kasih. Mereka yang hendak guna meja selepas itu pun pastinya gembira.

Jadi mengapa tidak selepas ini, kita mulakan tabiat kemas, angkat dan buang. Tidak susahkan?

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis, Norshazlina Nor Azman dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.