Jangan bayar dan blah, periksa bil, tunggu duit baki

Jangan bayar dan blah, periksa bil, tunggu duit baki

Kalau pelanggan yang terburu-buru tinggalkan kaunter selepas bayar, tak adil salahkan juruwang sebagai tidak pulangkan duit baki.

restaurant-bill
fmt-ohsem-inside-article1Kadang-kala bila ke kedai khususnya restoran kena hati-hati. Bukan apa, hati-hati dengan bil yang dikenakan. Lepas bayar, jangan pula terus berlalu pergi, tunggu duit baki.

Seorang rakan mengadu apabila ada restoran yang tak mahu pulangkan duit 5 atau 10 sen bila berbaki. Kalau ditanya juga, buat muka seolah-olah kita minta duit dia, katanya.

“Memang dunia sekarang dah lain. Semua orang cuba guna peluang yang ada. Kalau bayar tak ambil baki, juruwang diam saja. Baki 5, 10, 20 sen, macam berat hati pula nak dipulangkan,” keluhnya.

Namun, ada juruwang ditemui pula berkata pelanggan yang lalai berlalu pergi tanpa tunggu duit baki. “Kami ingat pelanggan mungkin beranggapan nilai 5, 10 sen itu kecil saja. Mereka yang berlalu pergi, lepas itu nak salahkan kami,” kata seorang jurujual restoran dekat pejabat.

Okay, itu satu hal, masalah lain di kaunter juruwang kedai makan ialah awasi bil yang dikenakan kerana itu pun kadang-kala mengundang “masalah” terlebih bayar.

Ada tempat, bila lebih 5 orang makan, makanan agak banyak, maka kena berdepan dengan situasi kira cincai yang berakhir dengan bayar lebih (atau kurang). Bukan lebih seringgit dua tetapi sampai beberapa pinggan yang tidak ditempah pun ada dalam bil.

Pernah sekali ketika baru sampai Bandar Melaka, kami sekeluarga 24 orang berhenti makan tengah hari di sebuah restoran. Daripada makan nasi berlauk, mi goreng, ayam goreng, roti naan, semuanya jadi hidangan.

Habis makan, bayar bil dan tunggu semua ahli keluarga “settle” makan minum, adik sepupu yang memeriksa bil mendapati 4 makanan yang tidak ditempah disenaraikan dalam bil.

Apa lagi, terus serbu kaunter minta penjelasan. Bagaimanapun, juruwang kaunter mengakui kesilapan itu sebagai tidak disengajakan (kerana ramai sangat yang makan) dan bayaran lebih itu dipulangkan.

Semua 3 pelayan yang jaga meja kami ditegur oleh juruwang sebelum meminta maaf kepada ahli keluarga saya.

Apa pun, ini bukan kes terpencil atau jarang. Situasi sama kerap berlaku dan banyak dikongsi rakan di media sosial. Beli 5 minuman, bil kira 6, biasanya kekeliruan berlaku apabila berada dalam kumpulan besar.

Tak, saya tidak menyalahkan pihak pekedai atau restoran, mungkin mereka juga keliru tetapi sebagai pelanggan kita juga kena berhati-hati dan periksa bil sendiri. Sila bertanggungjawab!

Oh ya, tidak ketinggalan kes peniaga terlepas pandang mengira mana-mana makanan dan minuman, kes “terkurang bayar”, amboi yang kita pun buat senyap kan…

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.