
Bagi kanak-kanak zaman sekitar 80-an, “being adventurous” ialah memancing, berenang di sungai, memanjat pokok, ada yang memanjat bumbung rumah, cari buah di dusun, main baling selipar atau galah panjang.Selain itu, bermain lastik, main tangkap katak dalam longkang, redah hutan cari kayu dan sebagainya.
Buat apa sekalipun, kita ada peraturan, balik rumah sebelum Maghrib. Kalau tidak penyapu melayang ke muka alamatnya.
Berbeza kanak-kanak dan remaja masa kini, mereka lebih suka membuat aktiviti mencabar (mencabarlah sangat) tanpa mengira masa.
Anehnya, ibu bapa pun tidak menghiraukan ke mana anak mereka pada waktu malam, seolah-olah kebebasan itu mutlak. Kenapa ya?
Kita semua mempersoalkan ibu bapa mangsa kemalangan yang mengorbankan nyawa 8 kanak-kanak yang berbasikal di Johor Bahru baru-baru ini.
Ibu bapa kepada kanak-kanak dan remaja ini dikatakan gagal memastikan anak mereka berada di rumah, pukul 3 pagi kot!
Mengupas lanjut, FMT Ohsem menghubungi seorang penunggang basikal profesional, Muhammad Farith Muhammad Kamaluddin untuk bertanya lanjut mengenai aktiviti berbasikal tengah malam oleh segelintir kanak-kanak dan remaja yang dikatakan agak popular.

Katanya, ia bukan hanya mengenai aktiviti berbasikal sahaja, tetapi kepuasan menunggang basikal di tengah malam, di jalan raya atau lebuh raya tanpa kawalan.
“Bagi saya, ia sejenis ‘rebel’ untuk merasai kebebasan lebih-lebih lagi apabila dilakukan secara berkumpulan,” katanya.
Farith juga memberitahu aktiviti ini lazimnya dilakukan kanak-kanak dan remaja muda yang teruja untuk menggunakan mod pengangkutan, basikal diubahsuai mengikut kehendak masing-masing.
“Pengubahsuaian basikal dilakukan sesuka hati, lazimnya membabitkan ‘handle bar’ dan bingkai basikal.
“Ia dilakukan kanak-kanak sendiri dengan pengaruh rakan. Biasanya mereka membawa basikal ke kedai lebur besi dan meminta rekaan mengikut kreativiti sendiri,” katanya.
Menurut Farith pengubahsuaian ini tentu sekali tidak membabitkan aspek keselamatan, malah ikut suka hati di pemilik basikal itu.
Nampaknya kegiatan ini bukan lagi rahsia tengah malam cuma ibu bapa sendiri tidak tahu.
Macam mana itu?
“Ikut pengalaman sendiri, kebanyakan ibu bapa tidak begitu menghiraukan perbuatan ini. Kalau dihirau pun, kanak-kanak ini memang akal dan enggan mendengar. Oleh kerana ia melibatkan basikal murah, kos ubah suai pun tidak mahal, maka tidak menjadi isu sehingga sesuatu yang malang berlaku,” katanya.
Farith yang berbasikal secara serius sejak 17 tahun lepas mengakui ia merbahaya, lebih-lebih lagi apabila aktiviti ini sengaja dilakukan di atas bukit, lereng bukit demi kepuasan ketika menuruni bukit.
Laporan akhbar sebelum ini mengenai kejadian di Johor Bahru juga mendedahkan basikal yang digunakan dalam aktiviti ini tidak mempunyai brek.
Wartawan FMT yang membuat liputan diberitahu basikal ini dihentikan pakai kaki sahaja dengan menekan tayar belakang.
Pelikkan, kalau berbasikal, turun bukit pula, tanpa brek, lebih buruk dilakukan di atas lebuh raya.
Penulisan ini bukanlah untuk menjustifikasi salah sesiapa, cuma supaya ibu bapa dan masyarakat sedar kewujudan geng basikal secara lebih terperinci.
Merempit guna basikal bukan “cool” adik, ia bahaya dan satu perbuatan membodohkan diri sendiri dan kalau saya jumpa anda di lebuh raya, memang naik darahlah saya.