
Setiap hari, purata penggunaan air oleh rakyat Malaysia adalah 65 juta liter dan jumlah air kumbahan itulah yang perlu dirawat oleh Indah Water.Apa yang akan terjadi sekiranya ia dibiar tanpa dirawat? Apakah yang berlaku kepada air kumbahan selepas mereka mandi, mencuci baju, pinggan mangkuk dan mengepam tandas serta tugas-tugas domestik yang lain?
Di sinilah Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) memainkan peranannya tanpa sehari pun bercuti sejak 22 tahun yang lepas.
Perjalanan air kumbahan ini bermula dari paip pembentungan bersambung di bawah tanah.
Dari rumah ia akan dialirkan ke paip pembentungan awam. Air sisa kumbahan ini perlu dikutip, dirawat dan ditukarkan menjadi air bersih untuk dilepaskan kembali ke perairan kita.
Menurut Pengerusi IWK, Tan Sri Abu Zahar Ujang, IWK wujudkan satu sistem pembentungan secara menyeluruh ke seluruh negara. Setiap penghuni rumah mesti disambung ke saluran IWK.
Tanggungjawab IWK adalah memastikan loji olahan kumbahan awam dan rangkaian saliran paip pembentungan awam dikendalikan dan diselenggarakan dengan cekap. Ia demi memelihara kebersihan alam sekitar dan melindungi kesihatan pengguna daripada penyakit berjangkit bawaan air seperti kepialu, taun dan polio.
“Dahulu di Malaysia kalau orang hendak buang air boleh di sungai, menggali tanah atau di mana-mana sahaja. Kemudian ada kemajuan dalam bentuk tangki septik dan sebagainya. Tapi dalam perkara ini IWK telah mewujudkan satu pembentungan secara menyeluruh ke seluruh negara,” jelas Abu Zahar yang ditemui Bernama di ibu pejabat IWK, di sini baharu-baharu ini.
IWK menjalankan operasi dan penyeleggaraan sistem pembentungan awam iaitu sebanyak 6,566 buah loji olahan kumbahan dan 18,293 km panjang paip pembentungan awam bawah tanah. Perkhidmatan sistem pembentungan ini diberikan kepada 23.86 juta penduduk.
Masih ramai yang tak bayar bil
Perkhidmatannya meliputi 87 buah kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kecuali Majlis Perbandaran Johor Bahru, Majlis Perbandaran Pasir Gudang serta PBT di negeri Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Menurut Abu Zahar, sungguhpun ia tidak terletak di bawah tanggungjawab IWK, pihak Kerajaan Negeri dan PBT masing-masing menyediakan perkhidmatan pembentungan yang baik dan cekap untuk mereka.
“IWK membelanjakan kos yang tinggi dalam menjalankan operasi dan penyeleggaraan ke atas sistem pembentungan awam. Kira-kira satu bilion setiap tahun. Namun, melalui perkhidmatan yang diberi, kita hanya memperoleh kira-kira RM600 juta sahaja. Kita kurang RM300-RM400 juta lagi,” katanya.
Syarikat pembentungan nasional ini mengenakan caj perkhidmatan premis domestik yang sangat rendah iaitu RM8 sebulan. Bil dihantar setiap 3 bulan bermakna bil yang diterima pengguna adalah RM24.
“Saya dapati walaupun 85% pengguna membayar bil mereka, tetapi jumlah tertunggak yang tidak dibayar oleh pengguna agak besar jumlahnya. Mencecah juta jugalah,” jelas Abu Zahar.
“Caj perkhidmatan IWK kekal RM8 sejak 20 tahun lepas tanpa sebarang kajian semula. Ini jelas menunjukkan kerajaan telah memainkan peranan yang besar memperuntukkan sejumlah wang bagi melancarkan operasi IWK,” tambah beliau.
Proses rawat air kumbahan yang terperinci
Menggunakan kaedah olahan kumbahan yang berkesan, sampah sarap seperti kaca, kain buruk, tin-tin dan cebisan kayu diasingkan. Seterusnya, pasir dan kersik diasingkan dan mendap ke dasar alur air.
Manakala pepejal halus seterusnya mengalir ke tangki-tangki ‘penjernih'(clarifiers). Di sini partikel-partikel kecil akan mendap ke dasar tangki menjadi ‘enapcemar’ (sludge).
Enapcemar ini akan ditapis di kolam yang mengandungi batu-batu sedalam 2 meter. Bakteria, alga dan cacing-cacing yang hidup di dalam turas akan menggunakan udara di celah-celah batu untuk memecahkan kumbahan.
Selepas menjalani beberapa proses untuk mengaktifkan enapcemar seperti proses penjernihan, pengudara resap dan pengudara terapung, akhirnya baki pepejal yang tertinggal dibiarkan mendap ke bawah tangki. Manakala air terawat mengalir keluar ke perairan.
Air kumbahan yang telah diolah berkenaan selamat untuk disalurkan ke dalam sungai atau laut. Ia meninggalkan mendapan enapcemar yang perlu dikeringkan menggunakan kaedah penjemuran, pembakar atau ditekan.
Enapcemar (bio-pepejal) ini adalah perapi tanah yang amat baik untuk tanaman hiasan.
Asal usul tandas, sistem pembentungan
Menariknya dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada orang ramai, IWK turut mencetak risalah yang menceritakan sejarah sistem pembentungan bersama gambar-gambar ilustrasi.
Menurut risalah berkenaan, pada zaman silam, najis adalah longgokan di merata tempat.
Keadaan amat mencabar untuk memikirkan tentang najis. Sebagai pengembara pula, tidak ada sesiapa yang menghiraukan longgokan yang tertinggal.
Kemudian pada zaman pertengahan di Eropah, cara pelupusan najis oleh sesetengah orang amat menjijikkan dengan membuangnya di jalan raya.
Jalan raya pada masa itu amatlah busuk. Golongan yang sensitif kepada bau busuk akan menghidu herba harum di kepala tongkat mereka.
Setelah banyak kematian akibat wabak dan penyakit kolera, maka penyakit dan najis dihubungkan. Akhirnya undang-undang terpaksa diluluskan bagi melarang jalan raya dijadikan pembentung.
Penyelesaiannya ialah membina tandas pam atau bilik air yang dianggap sebagai ciptaan unggul abad ke-19. Wujudlah saliran-saliran pembentungan di bandar-bandar Eropah.
Bagaimanapun, saliran paip pembentungan hanya menyalurkan kumbahan yang tidak diproses terus ke sungai dan laut.
Ia telah menimbulkan pelbagai rungutan dan ada pihak yang membina ladang kumbahan. Paip pembentungan disalirkan ke dalam lubang-lubang bawah tanah.
Tetapi kawasan berkenaan lama kelamaan tidak mampu mengendalikan jumlah kumbahan yang semakin bertambah.
Masalah kumbahan berlebihan itu akhirnya mendorong pembinaan loji-loji olahan kumbahan. Bagi yang tinggal di kawasan kampung, ia disalurkan sama ada menggunakan sungai atau tepi pantai. Di kawasan bandar di mana saliran pembentungan tidak wujud, najis diangkut.
Hanya pada tahun 1950-an, tandas pam diperkenalkan. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur pula, saliran paip pembentungan ke loji olahan kumbahan dan tangki septik telah dibina.
Tidak semua bandar mempunyai sistem pembentungan yang sempurna. Sejumlah besar kumbahan mengalir terus ke dalam sungai dan laut.
Oleh itu, IWK ditubuhkan untuk menangani masalah berkenaan.