

Pendedahan itu dibuat bekas syarikat pengurusannya selepas Johnny mengemukakan tuntutan mahkamah terhadap The Management Group (TMG) dengan mendakwa mereka salah urus hasil pendapatannya berjuta dolar.
TMG menerusi saman balas pada Selasa lalu mendedahkan senarai perbelanjaan mendakwa Johnny, termasuk pembelian meriam khas berharga AS$3 juta untuk meletupkan abu kawan baiknya yang juga pengarang, Hunter S Thompson, membeli sebuah kapal layar berharga AS$18 juta dan AS$4 juta bagi label rekod yang gagal.
TMG turut mendakwa pelakon berusia 53 tahun itu membayar lebih AS$75 juta untuk membeli dan menyelenggara 14 kediaman, termasuk sebuah chateau di Perancis serta beberapa kepulauan di Bahamas.
“Bukan itu sahaja, setiap bulan, Johnny juga menghabiskan AS$30,000 untuk beli wine, AS$200,000 bagi pesawat peribadi, AS$150,000 untuk kawalan keselamatan dan AS$300,000 bagi membayar 40 pekerjanya.
“Beliau yang gagal mengawal dan menguruskan kewangan kerana memilih hidup dalam kemewahan melampau. Johnny yang bertanggungjawab terhadap kehilangan wang yang banyak,” kata bekas pengurusnya dari TMG kepada Reuters.
Pada 13 Januari lalu, Johnny dalam tuntutan mahkamahnya mendakwa TMG salah urus pendapatannya lebih AS$25 juta, selain gagal membayar cukai pendapatannya menyebabkan beliau terpaksa dikenakan penalti AS$5.7 juta.
Johnny mendakwa, beliau hanya menyedari keadaan kewangannya semakin teruk selepas TMG menasihatkannya menjual hartanah besar di Perancis untuk membayar hutang.
Pelakon Pirates of the Caribbean itu akhirnya memecat TMG yang menguruskan kewangannya dari 1999 hingga 2016 dan mengupah pengurus baru yang mengesan salah laku syarikat terbabit.
Bagaimanapun, TMG bertegas setiap perbelanjaan Johnny dikemas kini dan dimaklumkan kepada beliau.
“Amaran demi amaran mengenai status kewangannya sering diberikan. Gaya hidupnya yang boros membawa Johnny berdepan keadaan ini,” kata TMG.
TMG yang diketuai Joel dan Robert Mandel turut mendakwa Johnny berhutang AS$4.2 juta dengan syarikat itu.