

Lazimnya terkenal di kawasan pinggir bandar atau perkampungan, desa dan pekan kecil, kini, industri homestay berkembang stabil sehinggalah ke kota metropolitan urban seperti Kuala Lumpur.
Terletak di antara Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Sungai Klang, homestay Suites Stay di bangunan Mercu Summer Suites dengan pemandangan sebahagian Kuala Lumpur dari tingkat 30, sememangnya sesuatu yang segar dalam industri ini.
Apa yang lebih menarik ialah ruang interior dalaman serta pemandangan dari ruang balkoninya yang memberi kepuasan seperti tinggal di hotel bertaraf bintang.
“Homestay adalah perniagaan yang berkembang maju dan pemain industri ini saling bersaing menawarkan hanya yang terbaik. Kini terdapat banyak penawaran dalam bidang hartanah dan tidak hanya terhad kepada komersial seperti pejabat atau niaga, residensi atau penempatan. Homestay adalah satu lagi cabang pilihan di antara elemen komersial dan hospitaliti yang boleh diceburi. Lebih-lebih lagi di ibu kota seperti KL,” terang pemilik Suites Stay, Shelyn Lim.
Shelyn bersama teman niaganya, Eliayes Hamzah memilih menjalankan perniagaan homestay selepas mendapati industri ini masih segar dan banyak lagi elemen yang boleh diterokai.
“Abang saya terlibat dalam bidang hartanah. Eliayes, kawannya dan kami berhubung, tampil dengan idea ini,” tambah Shelyn lagi.
Eliayes dan Shelyn kini mengendalikan 13 unit di Mercu Summer Suites merangkumi 5 studio, 5 unit bilik “single” dan 3 unit bilik “double”.
Selain lokasi itu, mereka juga mempunyai 9 unit di Damansara yang dikendalikan oleh Eliayes di bawah jenama Avere Suites.
“Operasi kami sama seperti menyewa bilik hotel. Cuma kami tidak mempunyai kakitangan seperti di hotel. Penghuni boleh buat tempahan secara talian atau penggilan telefon, kami akan layan secara peribadi. Sebaik sampai di sini kunci dan kad akses akan diserahkan. Pelanggan kena bertanggungjawab ke atas bilik sehinggalah mereka check out,” kata Eliayes.
Setiap bilik dilengkapi perabot seperti sofa dan katil; kelengkapan elektrikal seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin dan lain-lain; peralatan memasak dan dapur; kelengkapan bilik mandi dan tandas serta kad akses untuk menggunakan perkhidmatan dalam bangunan seperti bilik gym, kolam renang, bilik persidangan dan sebagainya.
Menurut Shelyn, pasukan Suites Stay bertugas dalam kumpulan kecil, tetapi komited menawarkan yang terbaik dimana bantuan dari aspek hospitaliti akan ditawarkan bila-bila masa pelanggan hadapi masalah.
Bercakap lanjut mengenai industri ini lagi, Eliayes akui setiap unit bukan dimiliki sendiri tetapi disewa daripada pemilik suite atau bilik dan diubahsuai menjadi homestay serta disewakan kepada pelanggan.
“Kami seperti orang tengah di antara pemilik dan pelanggan. Homestay di tengah-tengah bandar raya, satu industri yang ‘booming’ memandangkan permintaan yang tinggi bagi hospitaliti pada harga berpatutan,” kata Eliayes.
“Industri ini menampakkan sedikit perkembangan kerana permintaan (demand). Kita tak takut pada pesaing kerana pasarannya luas dan dengan menawarkan yang terbaik, kita akan terus terikat bersama pelanggan berulang. Khususnya di kota raya besar seperti Kuala Lumpur atau bandar komersial seperti Petaling Jaya dan Subang Jaya, ia mempunyai kapasiti besar untuk berkembang,” ujar Shelyn.
Keterangan lanjut mengenai Suites Stay boleh diperolehi dalam laman web www.suitesstay.com atau Facebook: Suites Stay. Manakala maklumat Avere Suites pula boleh didapati di Facebook: Avere Suites.
