

Siasatan awal mendapati pemandu bas ekspres tersebut, Zakeer Zubir, 32, tidak ada kesalahan dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain tidak mempunyai saman tertunggak, rekodnya bersih.
Membaca dan mengikuti berita ini terserempak dengan seorang saudara jauh yang juga pemandu bas ekspres. Beliau lazimnya memandu dari KL – Hatyai – KL.
Berbual dengan beliau, saya sedar kesukaran menjadi pemandu bas ekspres. Ini kerana rutin mereka sangat ketat sehingga tiada masa bersama keluarga malah untuk tidur sekalipun.
Uncle Letchumanan berkata sektor pengangkutan bas ekspres boleh dilabel sebagai sentiasa dalam keadaan “rushing” (terburu-buru) atau “lawan trip”, itu terma yang digunanya.
Walaupun ada 2 pemandu untuk mana-mana perjalanan lebih 300km, namun mereka terpaksa memburu masa untuk mengikut trip yang ditetapkan syarikat bas.
“Misalnya saya bergerak 8 pagi dan dijangka sampai 2 petang, trip seterusnya dari sana akan ditentukan jam 3 atau 4 petang. Kalau sangkut kesesakan atau terlewat maka kami kena mengejar masa,” katanya.
Beliau yang jarang ditemui kerana terlalu sibuk berkata, semuanya kerana keperluan tugas.
“Saya hanya boleh bercuti bila ada pemandu ganti. Kalau sepanjang bulan tiada pemandu ganti, maka terpaksa memandu 30 hari sebulan,” katanya yang akui sukar untuk bersama ahli keluarga.
“Kenapa uncle kena buat begitu? Korbankan masa bersama keluarga?” tanya saya.
“Kerana saya perlukan duit untuk menyara hidup dan keluarga. Saya hanya mendapat sekitar RM150 satu trip, mana cukup? Kalau tidak rajin, saya hanya menerima pendapatan purata RM3,000 hingga RM3,500 saja. Itu pun saya kena korbankan waktu tidur dan bersama keluarga,” katanya.
Uncle Letchu memberitahu pemandu sepertinya juga “sangkut” dengan kos sara hidup yang semakin meninggi.
“Kami kena kerja lebih sebab bayaran kami kekal sejak 4 atau 5 tahun lalu tetapi harga barangan semua naik hampir setiap setengah tahun,” katanya.
Walaupun kedengaran seperti menyedihkan, Uncle Letchu kelihatan sangat bertenaga. Dia langsung tidak mengeluh. Malah akui bosan bila berada di rumah.
“Bila uncle tidur?” tanya saya lagi.
“Kami (2 pemandu) akan tidur secara selang-seli bila salah seorang memandu. Dan pada bila-bila masa ada peluang. Selain memandu, kami kena bersihkan bas, cuci bas dan pastikan semuanya ok. Jadi kena pandai-pandai cari masa,” katanya yang memandu sejak lebih 2 dekad lalu.
“JPJ memang tegas bila lakukan pemeriksaan. Mereka akan saman jika kita tidak mengikut peraturan,” tambahnya bila ditanya tentang penguatkuasaan.
Nampaknya label pemandu bas sebagai kapten atau memberi pakaian seragam dan menyediakan bas dengan pelbagai peralatan canggih saja tidak mencukupi. Mereka juga manusia dan perlukan lebih banyak daripada itu.
Kita akan mengadu apabila dikenakan bayaran tiket bas yang mahal, tetapi jika kita bayar lebih namun pemandu bas ekspres tetapi mengeluh bayaran tidak mencukupi, di mana salahnya?
Pemandu bas membawa 40 nyawa salam satu-satu masa. Wajarlah kesihatan mereka diberi keutamaan. Entah berapa lagi pemandu seperti Uncle Letchu yang mengorbankan puluhan tahun di atas bas demi kelangsungan hidup.