
Bagaimana jika anak anda yang masih muda diberi peluang berniaga? Menentukan strategi perniagaan, membuat promosi produk, menjual, dan mengira untung? Menarik bukan?
Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Sekumpulan ibu muda dipimpin Mejar Shera Ann Bosco sedang membuat persiapan menganjurkan Bazar Usahawan Junior sebagai satu langkah menggalak dan mendedahkan kanak-kanak ke alam niaga.
Inisiatif ini dibuat menerusi kumpulan sokongan ibu, Caring Moms yang diasaskan Shera dan temannya, Umesh Narasimhaiah serta beberapa ibu lain.
Acara dijadualkan berlangsung pada 10 dan 11 Disember ini di The School, Jaya One di Petaling Jaya bermula 10 pagi hingga 7 malam ini menyasar penglibatan kira-kira 150 peserta dengan modul perniagaan tersendiri tetapi akan dikendalikan “junior” masing-masing.
Shera akui percubaan ini dibuat susulan kejayaan bazar konsep sama tetapi untuk ibu yang diadakan pada Ogos lalu.
“Kali ini kami mahu mendedahkan kanak-kanak kepada elemen perniagaan dan kongsi pengalaman dengan ibu dan bapa,” ujar Shera yang sibuk mengendalikan proses pendaftaran ketika ditemui di BFM Health & Living Jr 2016 di Bangsar South baru-baru ini.
Caring Moms disertai lebih 60,000 ahli sekali gus menjadi platform pertemuan ibu di alam maya untuk saling berhubungan dengan asas untuk menjana pendapatan.
Shera, yang mempunyai anak lelaki berusia 7 tahun berkata segalanya bermula pada April apabila beliau membuka akaun Facebook, Kerjaya untuk Caring Moms Malaysia – Babysitter, Tutor, Daycare.
Kejayaan akaun itu diterjemahkan dengan anggaran transaksi urus niaga harian dalam kalangan ahli yang direkodkan mencapai sekitar RM30,000 hingga RM40,000.
“Kini Caring Moms kembali dengan satu lagi inisiatif yang berhasrat untuk memindah bakat niaga ibu kepada anak mereka dan ia langkah yang mencabar buat kedua-dua ibu dan anak.

“Anak mesti sedar apa saja yang dilakukan, harus melibatkan usaha dan diikuti pengalaman. Lebih seronok jika sokongan itu datang daripada ibu masing-masing,” kata Shera.
Umesh berkata pendekatan seperti ini akan membolehkan kanak-kanak lebih tahu nilai wang dan menghargainya.
“Ajar mereka, bantu mereka, biar mereka tahu betapa sukar untuk menjana pendapatan. Ia bukan satu urusan yang mudah dan mekanisme ini membantu membina kesedaran dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Selain mengajar anak mengenai dunia niaga, memasarkan barangan, berdepan dengan situasi sebenar urus niaga, Shera jamin acara tersebut akan turut memberi keseronokan.
“Selain elemen pemasaran, kami juga melibatkan pelbagai aspek lain yang sesuai dengan kanak-kanak dan hadirin. Ia akan disesuaikan dengan cuti sekolah, Krismas dan sesi dengan Kung Fu Panda,” katanya.
Umesh turut menekankan aspek keselamatan di mana pegawai polis juga akan memberi kerjasama dengan menyediakan kawalan keselamatan yang ketat.
“Aktiviti kali ini tertumpu kepada kanak-kanak, jadi aspek keselamatan amat diutamakan,” katanya.
Kira-kira 40,000 pengunjung dijangka menyertai acara 2 hari ini.