

Kita banyak membaca berita mengenai syarikat besar dan pihak berpengaruh sanggup menaja perkahwinan artis, tetapi bagaimana dengan peminat biasa?
Pelakon Malaysia, Amyra Rosli, 25, dan Amar Baharin, 31, sudahpun berkahwin pada 11 November lalu dan mengadakan 2 majlis perkahwinan di Kuala Lumpur, kini mereka akan diraikan sekali lagi.
Majlis perkahwinan ke-3 ini bakal dilangsungkan di Singapura pada Sabtu ini dan dikendalikan sepenuhnya oleh Kelab Penyokong Amyra Rosli Singapura yang diketuai Asliani Abdul Ghani serta syarikat acara, FA Event & Entertainment.
Difahamkan, kelab itu kini mempunyai 29,000 pengikut di Instagram.
Kos majlis yang dianggarkan lebih S$50,000 (RM223,000) ternyata menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pengguna media sosial yang menyifatkannya pembaziran.
Namun, bagi Asliani, 36, usaha dan wang yang dibelanjakan itu amat berbaloi.
“Saya faham betapa kecewa peminat yang tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan Amyra. Ini adalah hadiah kepada peminat atas sokongan mereka selama ini,” kata Asliani yang menjadi peminat Amyra sejak 4 tahun lalu kepada The New Paper (TNP) di Singapura.
Pegawai logistik dan pasukannya berjaya mendapatkan 22 penaja dalam masa 3 minggu untuk menaja perkahwinan tersebut dengan kira-kira 300 tetamu dijangka hadir.
Majlis dijadual diadakan di The Ballroom East Coast yang dimiliki personaliti radio tempatan AB Shaik.
“Keutamaan diberikan kepada peminat utama yang tidak dapat menghadiri perkahwinan mereka, individu berbayar untuk sesi ‘jumpa dan sambut’ yang lalu serta orang awam yang tidak pernah berpeluang menemui pasangan ini,” katanya.
Amyra dan Amar adalah pasangan yang membintangi siri drama Suamiku Encik Sotong.
Amyra yang gembira dengan usaha peminatnya di Singapura berkata: “Ini seperti rumah kedua kami dan kami tersentuh dengan pengurusan majlis ini.”
Asliani juga sedia menerima kritikan dan menganggap ia sebahagian daripada proses majlis. “Majlis ini diadakan secara ikhlas sebagai peminat. Niat kami adalah untuk menggembirakan peminat,” katanya.