7 jenis bulan madu pilihan 2017

7 jenis bulan madu pilihan 2017

Tahun 2017 menjangkakan reformasi dalam pilihan lokasi dan motif percutian bulan madu pasangan muda.

bulanmadu
fmt-ohsem-inside-article1Menjelang penghujung November dan sepanjang Disember nanti, kita pasti menerima banyak undangan perkahwinan. Cuti sekolah adalah musim paling sesuai untuk sesebuah keluarga melangsungkan perkahwinan manakala bagi pasangan yang akan berkahwin pula, mudah untuk mereka menghabiskan cuti sebelum memulakan tahun baharu.

Selain cuti untuk mengadakan majlis akad nikah dan kenduri, pasangan baharu berkahwin juga akan memohon cuti untuk berbulan madu.

“Ke mana untuk berbulan madu,” soalan itu kalau suatu masa dahulu dibalas “Cameron Highlands”, “Pulau Pangkor”, “Pulau Pinang” dan kemudian berubah kepada “Singapura”, “Sabah”, hinggalah kini ke “Eropah”, Amerika”, “Turki”, “India” dan sebagainya.

Namun, 2017 bakal menyaksikan reformasi pilihan. Pilihan lokasi atau motif percutian pasangan muda beralih angin.

Pengarang portal bulan madu terkenal di United Kingdom, 101 Honeymoon, Jane Anderson berkata, trend 2017 bukan lagi mengenai pantai mewah, hotel 5 bintang atau sekadar melawat sesebuah tempat.

Walaupun masih baru di Malaysia, trend ini sudah mula diterima pasangan muda. Selain Jane, beberapa portal berkaitan percutian dan perkahwinan juga mengangkat trend di bawah.

1. Bulan madu biker, jelajah jalan, kota dan kampungTrend ini sedang hangat di Amerika Syarikat. Di Malaysia, ia turut menjadi pilihan dalam kalangan penunggang motosikal atau jika salah seorang pasangan itu merupakan biker. Mereka menghabiskan bulan madu sambil mengembara membawa superbike. Pasangan ini lebih lasak, fleksibel dan bukan jenis yang bermanja mencari tempat mewah.

2. Bulan madu gourmetMakan, cuba makanan baharu, masak dan makan lagi. Bulan madu ini khusus kepada penggemar makanan yang ingin meneroka cita rasa kulinari sama ada di sesebuah bandar, negara atau mempunyai tema khusus (seperti Mediteranean, Continental, India). Pasangan ini lebih mengutamakan jenis makanan dan tempat makan dalam percutian termasuk membuat tempahan awal dan khusus.

3. Bulan madu holistik

Pasangan muda masa kini sangat peka dengan kesihatan dan penjagaan diri. Bagi mereka percutian bulan madu juga mengenai penerokaan penjagaan diri masing-masing. Oleh itu mereka memilih berbulan madu sambil menjaga diri seperti memberi keutamaan kepada aktiviti spa, urut, rawatan muka dan badan serta meditasi. Tidak kurang juga pasangan yang memilih pakej Retreat Yoga atau meditasi sebagai pakej utama bulan madu.

4. Bulan madu pelbagai destinasi

Dari Chiang Rai, Thailand ke Muangmom di Laos dan Monglin di Myanmar, 3 destinasi bukan popular tetapi meliputi 3 negara, 3 budaya berbeza. Pilihan lain, Sarawak ke Kalimantan di Indonesia dan Brunei, pilihan yang praktikal juga meliputi beberapa kawasan dan negara. Ini adalah pilihan bergaya pasangan sekarang yang memilih mengembara tempat dan budaya baharu serta berbeza di beberapa lokasi walaupun bukan popular. Ia semakin trending dan mungkin boleh menjadi cadangan baik kepada bakal pengantin kelak.

5. Bulan madu pelayaran sederhana mewah

Pelayaran kapal cruise mega bukan pilihan mereka. Pasangan ini hanya menggunakan khidmat kapal layar sederhana besar atau kecil sekitar 100 orang atau kurang penumpang untuk berlayar dan meneroka kecantikan lautan biru bersama orang tercinta. Di luar negara, banyak aktiviti disediakan untuk penumpang seperti ini berbeza dengan pelayaran menggunakan kapal cruise mega.

6. Bulan madu sukarelawan

Daftar diri anda dan pasangan anda menjadi sukarelawan bagi membantu mereka yang memerlukan di sesebuah negara. Bantu dan alami kehidupan baharu sambil berbulan madu dengan pasangan. Semuanya ditanggung, mungkin dikenakan sedikit bayaran. Sama ada di lokasi negara bergolak, negara miskin, membantu puak asli dalam hutan, di pusat pemeliharaan binatang, pemuliharaan alam sekitar atau di mana sahaja. Trend ini semakin diminati pasangan di luar negara, khususnya Eropah dan AS.

7. Bulan madu sambil bekerja

Ini percutian gaya baharu, bukan kehendak tetapi keperluan, antara yang dilihat sedang trending. Pagi hingga petang bekerja, balik ke hotel sambung berbulan madu. Ataupun membawa tugas pejabat ke lokasi bulan madu dan menghabiskan beberapa jam bekerja sebelum meluangkan masa bersama orang tercinta. Mungkin ramai daripada kita turut atau terpaksa berbuat demikian.

Selain senarai di atas, ada pelbagai jenis bulan madu lain dijangka terus trending pada tahun akan datang. Antaranya bulan madu eko-pelancongan, bulan madu tidak dirancang, bulan madu pengembara atau pendaki, bulan madu jangka panjang dan sebagainya.

Jelas, pasangan muda hari ini mempunyai konteks luas walaupun daripada segi berbulan madu.

Kepada bakal pengantin, FMT Ohsem percaya idea di atas boleh memberi sedikit ilham kepada anda!

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.