
Daripada seorang wanita yang dilantik menjadi imam masjid pertama, pembuat kek, pegawai polis Afghanistan kepada bintang Bollywood yang pernah beraksi porno, badan penyiaran Britain BBC sekali lagi menyenaraikan 100 wanita yang menurutnya paling berpengaruh dalam pelbagai bidang.Mereka yang dipilih dibahagikan mengikut kategori iaitu seni, bisnes, kesihatan, hak asasi, kewartawanan, politik, agama, sains teknologi, dan sukan.
Menurut BBC, mereka melakukan pembaharuan dan menempa nama dalam bidang masing-masing walaupun tidak dikenali secara meluas.
FMT Ohsem memetik beberapa nama dalam senarai 100 wanita paling berpengaruh bagi tahun 2016:
Seni
Dwi Handa- Wanita kelahiran Indonesia diiktiraf kerana pengaruhnya sebagai ahli “Hipster Hijabis” yang menjadi ikon fesyen Islam menerusi akaun Instagramnya. Dia sering diajak menjadi tetamu khas acara fesyen selain dibayar untuk memakai rekaan baharu.
Isabella Springmuhl Tejada: Pereka fesyen sindrom down pertama yang mengambil bahagian dalam Minggu Fesyen London.
Sunny Leone: Bekas bintang porno yang menyertai industri hiburan Bollywood pada 2013.
Nadiya Hussain: Pembuat kek, pengarang buku dan personaliti televisyen yang menjadi popular selepas menjohani siri pertandingan Great British Bake Off pada 2015.
Bisnes
Churan Zheng: Pengurus acara dari China ini menganjurkan pelbagai kempen hak asasi wanita dan meminta semua wanita diberi cuti sepanjang tempoh didatangi haid.
Naema Ahmed: Berusia 25 tahun, wanita Pakistan ini merupakan pengurus pemula e-dagang yang tampil dengan cita-cita sendiri di luar konteks keluarga konservatif Pakistan.
Shriti Vadera: seorang banker dan wanita paling berpengaruh dalam ekonomi di United Kingdom. Beliau banyak membantu sektor perbankan negara itu ekoran Brexit.
Kesihatan
Ashwaq Moharram: Doktor dari Yaman ini mengambil keputusan tinggal di negara itu dan berkhidmat menggunakan keretanya sebagai klinik bergerak walaupun keluarganya berpindah keluar.
Um-Yehia: Seorang akauntan di Syria tetapi memilih menjadi jururawat untuk membantu mangsa di Aleppo.
Erin Sweeny: Pakar psikologi di Australia yang menyumbangkan lebih 20 tahun merawat pesalah seks.
Hak asasi
Pashtun Rahmat: Seorang pegawai polis wanita di Afghanistan, bertugas selama 28 tahun dalam situasi yang penuh genting di negara ortodoks itu.
Natalia Ponce de Leon: Mangsa simbahan asid yang menjadi ikon kebangsaan selepas berjuang untuk undang-undang menghukum pesalah serang asid.
Kewartawanan
Khadija Ismayilova: Dipenjara selepas cuba membongkar korupsi berprofil tinggi, namun wanita Azerbaijan ini terus berusaha melakukan yang terbaik.
Carmen Aristegui: Wartawan yang paling berpengaruh di Mexico. Pernah mendedahkan dan menumbangkan orang-orang berkuasa di negara itu.
Politik
Rachida Dati: Ahli politik Perancis yang banyak berjuang untuk golongan minoriti negara itu termasuk penduduk Islam.
Agama
Sherin Khankan: Wanita pertama menjadi Imam di sebuah masjid di Denmark sebagai mencabar kuasa lelaki dalam bidang itu.
Sains dan teknologi
Nay el-Rahi: Pengasas HarassTracker.org, sebuah laman web untuk mengesan gangguan seksual di Lebanon.
Saalumarada Thimmakka: Wanita berusia 105 tahun ini menanam lebih 8,000 pokok sejak 80 tahun yang lalu sebagai respon kepada masyarakat yang mengecamnya kerana tidak menimang cahaya mata.
Sukan
Simone Biles: Ratu Olimpik Rio selepas merangkul 4 pingat emas dalam sukan gimnastik sekali gus dinobatkan sebagai gimnas terhebat sepanjang masa.
Shirin Gerami: Atlet trilathon wanita pertama Iran yang turut digelar “Ironwomen”. Bertanding dalam sukan, lengkap berhijab dan membangunkan jenama sukan tersendiri serta menyokong wanita Iran menyertai sukan.
Chan Yuen-ting: Wanita pertama yang menjadi pengurus bola sepak untuk pasukan lelaki. Chan dari Hong Kong baru berusia 28 tahun.