

Walaupun undi popular memihak kepada calon Demokrat Hillary Clinton dengan 48% undi, berbanding Trump daripada parti Republikan dengan 47%, jelas ia bukan kayu pengukur untuk menduduki kerusi di pejabat Oval, Rumah Putih.
Usahawan yang terkenal dengan program realiti The Apprentice suatu ketika dahulu kini merupakan presiden Amerika Syarikat yang ke-45.
Kepada mereka yang pernah mengikuti siri program itu pasti tahu sedikit sebanyak sisi lelaki itu selaku juri utamanya. Sikap dan perangainya jelas kerana Trump kelihatan seperti individu yang tidak gemar berselindung. Tetapi persoalannya, adakah dia seorang yang benar-benar gembira?
7 tahun lalu, Sara Khong CK ketika mewakili persidangan South East Asia Youth For Change di Putrajaya, mendapat peluang bertanya soalan kepada Trump.
“Saya mendapat peluang untuk bertanya soalan kepada Trump menerusi panggilan sidang video.

“Siapa sangka, selepas 7 tahun, dia menjadi presiden Amerika Syarikat. Saya tidak boleh mempercayainya,” tulis Sara menerusi blognya http://sarakhong.com/blog/
Sara Khong ialah pengasas laman web JewelPie, sebuah majalah dalam talian. Dia merupakan antara pengendali laman web dan blog yang aktif berkongsi pelbagai tips dan panduan “lifehack” selain artikel mengenai gaya hidup. Sara juga banyak berkongsi resepi makanan dan tip masakan Malaysia dan pernah memperkenalkan kempen membawa makanan dari rumah.
Dalam muat naik yang dikemaskini oleh Sara semalam yang turut dikongsi dalam laman sosial Facebook, dia tidak ketinggalan berkongsi jawapan yang diberikan lelaki berusia 70 tahun itu pada tahun 2009.
“Jadi apa Trump beritahu saya?”
Sara ketika itu sedar betapa jahilnya soalan itu. Dia mendapat peluang untuk bertanya soalan kepada seorang jutawan yang sangat disegani walaupun penuh kontroversi tetapi soalan yang ditanya sekadar “jika Trump gembira”.
“Saya sangat gelisah dan Trump pastinya sedikit terkejut dengan soalan saya. Hah, saya pasti dia tidak pernah terfikir jika kekayaannya membawa kegembiraan kepadanya. Jadi ini jawapannya, lebih kurang,” kata Sara.
“Saya tidak akan berkata gembira secara sendirinya. Tetapi saya puas. Wang tidak boleh membeli kegembiraan, tetapi ia memudahkan kehidupan. Anda boleh beri pendidikan kepada anak-anak, anda boleh beri perkhidmatan perubatan yang terbaik kepada mereka…”
Sara akui Trump berkongsi banyak perkara sepanjang menjawab soalannya tetapi petikan di atas yang diingati dengan jelas dan memberi kesan mendalam kepadanya. Pada penghujung jawapannya, Trump dikatakan mengakui gembira.
“Ya, saya gembira!”
Sara berkata, mesej yang sangat mendalam daripada jawapan Trump yang dapat ditafsirkan olehnya ialah wang tidak boleh membeli kegembiraan.
Ketika FMT Ohsem bertanya tentang pertemuan secara maya itu, wanita yang juga terkenal sebagai pengarang buku masakan “Malaysian meals in 30 minutes” berkata, Trump bukan seorang lelaki yang benar-benar gembira seperti yang diucapkan.
“Bagaimana untuk bergembira jika dia sangsi pada semua orang di sekelilingnya? Isteri sendiri pun dia sangsi. Bukankah dia patut mempercayai pasangan hidupnya itu? Dia tidak boleh menjadi seorang yang gembira jika terus sangsi dan tidak mempercayai orang di sekelilingnya,” kata wanita muda itu.
Pada hari pengundian, gambar Trump mengintai kertas undi isterinya, Melania menjadi viral, sekali gus mempersoalkan kreadibiliti calon Republikan itu menghormati hak asasi kebebasan seseorang mengundi dan kepercayaan terhadap isterinya.
Trump akan mengambil alih tampuk pemerintahan Amerika Syarikat daripada Presiden Barack Obama pada 20 Januari 2017.