
Rupanya pelepasan cukai bagi penampilan diri bagi selebriti sudah sememangnya ada dalam peruntukkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), cuma menggunakan terma yang berbeza.Menurut laporan MMO Projek, kerajaan melalui LHDN memberi pelepasan itu bagi bayaran jurusolek dan sewaan pakaian, selain beberapa kos lain seperti pengurusan artis dan pengiklanan.
Laporan itu memetik kata Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrun Maslim.
Jelas Masrun, kos perjalanan seperti petrol, tol dan caj parkir juga boleh dimohon untuk dikecualikan cukai.
“Untuk perbelanjaan jenis ini, tiada peruntukan atau amaun tertentu yang ditetapkan. Ia terpulang kepada perbelanjaan sebenar seseorang artis dalam menjalankan profesion mereka,” katanya dalam laporan itu.
Pelepasan itu boleh dituntut menerusi borang B yang perlu dihantar selebriti setiap tahun. Bagi memudahkan pemeriksaan semula, LHDN menasihatkan selebriti supaya menyimpan semua dokumen sokongan seperti invois [termasuk, pembelian alat solek] baucer bayaran jurusolek dan pengurus artis, resit pembelian dan lain-lain.
Masrun berkata LHDN menganggap kos atau bayaran tersebut “perbelanjaan operasi” sebagai penggiat seni dan pihaknya tidak menggunakan terma pelepasan cukai dalam hal ini.
Beliau turut mengakui penggiat seni yang tidak menghantar borang cukai dan gagal menyediakan penyata pendapatan yang lengkap dengan dokumen sokongan sering berhadapan dengan cukai yang tinggi.
Ulasan itu dibuat ekoran cadangan Nora Danish dalam akhbar Utusan Malaysia menerusi satu artikel semalam supaya kerajaan memberikan “sedikit pelepasan” cukai sebagai kos “penampilan diri” memandangkan pihaknya banyak mengeluarkan wang untuk menjaga penampilan diri mereka.