

Pasangan selebriti tempatan, Awal Ashaari dan Scha Alyahya juga dikecam netizen selepas insiden mereka memuatnaik gambar anak dipakaikan “baby harness” dan dibawa bersiar.
“Baby harness” atau abah-abah keselamatan bayi ialah alat perlindungan peribadi yang mengelak kanak-kanak daripada hilang dari perhatian ibu bapa.
Hari ini, ramai ibu bapa muda moden tidak mengendahkan pandangan atau kecaman negatif masyarakat, sebaliknya ia digunakan secara berleluasa demi faktor keselamatan anak.
“Pada mulanya saya menganggap harness tidak sesuai tetapi selepas mendengar pelbagai kes berkaitan culik dan kehilangan kanak-kanak, saya berubah pendapat,” kata seorang ibu kepada 2 orang anak, Noor Ashreen Ismail, 32.
Menariknya, abah-abah keselamatan yang suatu masa dahulu hanya sekadar tali pengikat kini didatangkan dalam pelbagai bentuk dan rekaan moden dan mesra kanak-kanak.
Rata-rata tinjauan FMT Ohsem dalam laman-laman web serta beberapa kedai di sekitar Damansara dan Shah Alam menemui “baby harness” jenis ikat di pergelangan tangan dan berbentuk beg yang mencengkam keliling dada atau pinggang kanak-kanak.
Misalnya bagi Noor Ashreen sendiri, dia memiliki “baby harness” yang berbentuk beg di mana dia turut menyimpan barangan peribadi anaknya seperti kain lampin, botol air dan makanan di samping pemegang bertali di pergelangan tangan bagi memudahkan pengawasan anak.
FMT Ohsem mendekati seorang jurujual kedai barangan bayi dan kanak-kanak, Mamours di pusat beli-belah 1 Utama yang mengakui peralatan tersebut antara pilihan ibu bapa moden masa kini.

Jerome Rombaoa, 35 kelihatan sangat mahir bercakap tentang abah-abah keselamatan ini. “‘Baby harness’ digunakan atas faktor keselamatan, biasanya melibatkan bayi yang mula berjalan, dan berusia kurang 3 tahun. Di sini kami menjual 2 jenis ‘baby harness’ iaitu yang dipasang di dada dan yang dipasang di pergelangan tangan.
“Ada juga ‘baby harness’ untuk melatih anak berjalan, mempunyai dua pemegang dan dipasang seperti seluar untuk memimpin kanak-kanak berjalan. Ada juga untuk kanak-kanak istimewa seperti autisme atau orang dewasa yang mengidap dimentia, tetapi tidak dijual di sini,” katanya.
Memberi maklumat tambahan, Jerome berkata, tidak seperti kebanyakan produk kanak-kanak, abah-abah keselamatan ini masih belum mempunyai sebarang regulasi penggunaan.
“Bukan seperti kerusi duduk kereta atau ‘stroller’ yang mempunyai regulasi penggunaan. Jadi sesiapa sahaja boleh membuat ‘harness’ ikut suka. Namun, menurut pihak penyelidik yang mengkaji kegunaan ‘harness’, ia harus kurang 6 kaki panjang dan tidak boleh digunakan kepada kanak-kanak yang berusia lebih 3 tahun,” kata Jerome yang mengakui banyak membekalkan diri dengan pengetahuan berhubung produk kanak-kanak kerana keperluan tugasnya itu.
Pensyarah kanan Psikologi Perkembangan Kanak-Kanak Jabatan Psikologi Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Dr Nazariah Shar’ie Janon pula berpendapat abah-abah hanya patut digunakan atas tujuan keselamatan dan bukan sebagai kebergantungan mahupun tuntutan fesyen.
“Mungkin sebab ibu bapa sekarang banyak bawa anak berjalan, dari segi perkembangan tiada impak. Namun ibu bapa kena tahu selepas usia 2 atau 3 tahun, kanak-kanak itu akan faham kalau ada orang melihatnya berjalan memasang ‘harness’ dan ia sekaligus menjatuhkan harga diri atau kepercayaan terhadap dirinya,” kata beliau.
Oleh itu beliau menasihati ibu bapa supaya tidak menggunakan “harness” sebaliknya memegang tangan anak dan memberi arahan supaya mereka mengikut.
“Selepas 3 tahun, kanak-kanak mahu membina kepercayaan diri, autonomi diri untuk berjalan sendiri. Peganglah tangan, baru anda juga boleh mengembangkan ‘bonding’ bersama mereka. Pastikan mereka ikut arahan anda dan dalam masa yang sama beri kepercayaan kepada mereka.
“Jangan pula ibu bapa sibuk main handphone, anak kena ikat ‘harness’,” sindirnya.
Bagi seorang lagi ibu dari Cheras, Johanna Sobrey, 36, dia menggunakan “baby harness” untuk anak-anaknya 7 tahun yang lepas, ketika abah-abah keselamatan masih dianggap baharu dan dianggap tidak sesuatu untuk kanak-kanak.
“Saya gunakan ke atas ketiga-tiga anak saya. Saya percaya orang mula menerimanya kerana ia boleh menyelamatkan anak daripada hilang atau diculik.
“Mujur, setakat ini tiada yang tegur secara negatif, yang bertanya di mana saya membeli, adalah,” tambahnya.
Menurut Johanna, berbanding beberapa tahun dahulu, abah-abah keselamatan hanya boleh diperolehi di kedai-kedai tertentu atau kedai menjual barangan bayi, namun kini, ia mudah dibeli terutamanya secara atas talian.
“Di Lazada pun sudah ada. Ia menunjukkan penerimaan produk tersebut di kalangan ibu bapa,” katanya.
Munurut ibu-ibu yang didekati, mereka tidak kisah dengan stigma orang ramai tetapi hanya mengutamakan keselamatan anak.
“Penggunaan ‘harness’ di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, khususnya di pusat membeli-belah yang besar tidak dihiraukan lagi. Berbeza dengan pemikiran masyarakat yeng lebih konservatif,” kata Julia Ismail, ibu kepada 3 orang anak.
“Seorang rakan saya pernah menggunakan ‘harness’ di KB Mall, Kota Bharu dan dia ditegur ramai. Jadi saya rasa faktor pendedahan yang kurang dan cara didikan tradisional mungkin menyebabkan mereka menganggap ‘harness’ sebagai tidak sesuai,” tambahnya.
Julia berkata pandangan serong tidak hanya terhad kepada abah-abah keselamatan malah perkara yang sama berlaku apabila dia menggunakan kerusi kereta bayi.
“Selalunya kalau kita keluar dari kereta, kita akan angkat bayi sekali dengan car seat baby. Itu pun orang tegur ibu moden kurang peka, tak mahu dukung anak dan macam-macam,” keluh ibu muda itu lagi.