
Pelakon Nora Danish mencadangkan supaya para selebriti diberikan sedikit pelepasan cukai daripada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), lapor Utusan Malaysia hari ini.Cadangan itu dibuat berdasarkan alasan bahawa artis sepertinya banyak mengeluarkan wang untuk menjaga penampilan diri yang boleh dimasukkan sebagai kos kerja.
“Bagi saya sebagai rakyat Malaysia memang ini adalah tanggungjawab kita,” kata Nora, merujuk kepada keperluan membayar cukai pendapatan.
“Cuma apa yang saya harap ada sedikit pelepasan buat selebriti macam kami. Bukan apa, dalam waktu sekarang kami banyak mengeluarkan wang untuk penampilan diri. Jadi, ini adalah sebahagian daripada kerja dan ia barangkali dimasukkan sebagai kos kerja bagi kami.
“Kalau boleh, pihak LHDN pertimbangkan hal-hal sebegitu, ia akan lebih baik buat kami para artis dan selebriti lain yang amat bergantung kepada penampilan diri apabila muncul berhadapan dengan khalayak,” katanya dalam artikel bertajuk “Periksa status saya di pejabat agama” dalam ruangan Mega, Utusan Malaysia hari ini.
Nora yang turut berkecimpung dalam dunia perniagaan fesyen akui beliau tiada tunggakan cukai dan membayarnya pada waktu yang ditetapkan, dan berkata jumlah yang dibayarnya bukan sesuatu “yang terlalu mengejutkan”.
Baru-baru ini, pelakon Rozita Che Wan yang lebih mesra dipanggil Che Ta disekat ke luar negara selepas berhadapan masalah cukai tertunggak.
Che Ta menjelaskan beliau sudah membayar separuh daripada tunggakan cukai pendapatannya yang mencecah hampir RM1 juta dan sedang berusaha melangsaikan sebahagian bakinya.