
Satu makanan yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia dan makanan itu, tidak lagi kalau bukan “nasi lemak”.Menyedari nasi lemak adalah makanan istimewa Malaysia dan kegemaran rakyat Malaysia, laman web makanan tempatan Friedchillies.com menganjurkan festival “I Eat Nasi Lemak” sejak 2 tahun yang lalu.
Dua festival pertamanya berjaya, tahun ini buat kali ke-3 dan ia direkod sebagai yang terbesar dengan penyertaan lebih 40 peniaga nasi lemak dari seluruh negara khususnya Lembah Klang.
Festival yang diasaskan oleh Honey Ahmad dan Adly Rizal dari Friedchillies.com kali ini bergabung dengan Projek Nasi Lemak bertujuan amal.

Projek Nasi Lemak ialah gerakan untuk mengenal pasti keluarga miskin bandar dan mengajar mereka mencari rezeki dengan menjual nasi lemak.
Ketua perhubungan awam FriedChillies, Jiman Nizam berkata Projek Nasi Lemak akan mengajar keluarga miskin bandar untuk menguruskan akaun, logistik, penghantaran serta cara membuka akaun Facebook untuk perniagaan mereka.
“Ia adalah satu usaha murni,” katanya.

Pada awal pengenalan, festival ini hanya bermula dengan 10 peserta peniaga dan meningkat 2 kali ganda pada tahun seterusnya kepada 20 peniaga. Kali ini, dengan kapasiti penyertaan 40 peniaga, kepelbagaian dan rasa setiap nasi lemak memeriahkan lagi keseluruhan festival.
Seorang peniaga dari Pulau Pinang memperkenalkan Nasi Lemak Pendekar Mustar, iaitu nasi lemak dengan ikan salmon masak asam pedas yang dinamakan sempena watak terkenal P. Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok.
“Oleh kerana terdapat 40 peniaga, kami terpaksa membahagikan festival ini kepada 2 sesi iaitu pagi dan petang,” kata Jiman yang turut akui sesi petang menerima sambutan di luar jangkaan berbanding sesi pagi.
“Rakyat Malaysia benar-benar terlalu menggilai nasi lemak,” kata Jiman berjenaka.
Dia mengenangkan semula situasi penuh sesak di Pusat Konvensyen TM, pada petang Sabtu yang lalu.
Antara peniaga yang menyertai festival tersebut ialah penjual nasi lemak ayam berempah yang terkenal di Damansara Uptown, dari restoran Village Park.
Mereka yang pernah melawat restoran tersebut akan akui popularitinya lebih-lebih lagi ia menjadi lokasi pilihan tokoh-tokoh terkenal negara makan nasi lemak. Gambar-gambar mereka makan di restoran itu pula digantung di dinding di premis tersebut sebagai buktinya.
Antara tokoh tersebut ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kedua-dua gambar mereka menikmati nasi lemak di restoran itu terpapar di dinding Village Park.
Sementara itu, seorang lagi peniaga dari Melaka yang terkenal dengan Nasi Lemak Hujung Pasir turut menyertai acara tersebut.

Menurut Jiman, selain penjual nasi lemak yang terkenal, festival itu juga memberi ruang kepada peniaga nasik lemak kecil-kecilan supaya turut menempa nama dalam sektor makanan ini.
“Kami mengalu-alukan penyertaan peniaga nasi lemak kecil yang terbaik supaya orang ramai juga boleh supaya menikmati nasi lemak mereka,” katanya.
Secara keseluruhan, ia dikatakan menjadi satu festival yang mencapai kejayaan besar dalam memperkenalkan makanan Malaysia dalam pelbagai bentuk dan nama, di bawah satu bumbung.