
Akhir-akhir ini peningkatan harga barangan khususnya bahan api dan minyak masak merupakan topik hangat yang dibicarakan.Di bawah disenaraikan jenis perbelanjaan yang paling utama dalam hidup seseorang terutama sekali di Malaysia pada masa kini dan cadangan untuk mengawalnya.
Pengangkutan
Pengunaan pengangkutan awam sering digambarkan sebagai murah dan mudah namun mungkin bukan dalam konteks tempatan yang dikatakan masih banyak kelemahannya.
Sendiri – Komitmen setiap bulan termasuk ansuran bulanan, insurans dan cukai jalan (tahunan), kos bahan api, tol, parking. Kebaikannya ialah anda boleh bergerak ke mana sahaja dan boleh menjimatkan masa kecuali terlibat dalam kesesakan. Bagaimanapun anda banyak menggunakan tenaga untuk berulang-alik dan tidak boleh berehat dalam perjalanan.
Awam — Tambang ulang-alik namun anda boleh berjimat dengan pembelian kupon atau kad tambang prabayar. Lebih relaks dan santai kecuali pada waktu puncak. Namun mungkin merugikan waktu kerana tempoh menunggu selain pada musim hujan. Terpaksa berjalan atau menggunakan perkhidmatan teksi ke lokasi tertentu. Kebergantungan kepada pengangkutan awam juga mungkin menyukarkan perancangan masa.
Makan & minum
Masak sendiri – Selalu disifatkan sebagai paling jimat, cuma anda perlu rajin untuk memasak dan ‘tapau’ (bungkus). Sayur dan daging jauh lebih murah apabila dimasak sendiri. Kemungkinan wujud kerugian jika anda terlebih masak atau ada temujanji makan yang tidak dapat dielak. Mungkin wujud lebihan stok bekalan yang akhirnya tidak boleh digunakan dan dibuang.
Makan di luar – Dalam konteks tertentu ia lebih praktikal kerana mengelak daripada kerugian. Namun ekoran kenaikan harga barang, harga makanan memuncak tinggi di luar andaian.
Hiburan
Hiburan, satu elemen penting dalam hidup yang penuh tekanan. Maka tidak mustahil ramai yang sanggup membelanjakan sebahagian besar wang mereka untuk berhibur. Jika anda mahu mengawasi perbelanjaan hiburan, catat jenis hiburan sepanjang minggu dan jumlah wang yang dibelanjakan. Pastikan ia secara purata tidak melebihi 5% daripada gaji.
Ada sesetengah bentuk hiburan boleh membantu anda menjana hasil. Langkah lain meminimakan belanja ialah dengan membawa sendiri bekal makanan atau minuman semasa berhibur.
Peruncitan
Amalkan sistem menyenarai ketika membeli barang dan rancang sama ada pembelian secara berkala (secara mingguan, bulanan) atau bila perlu. Lihat juga kepada keutamaan membeli barangan ‘ready made’ atau bahan asas untuk buatan sendiri. Pilih pasar raya yang memberi lebih nilai, jadi ahli pasar raya itu untuk mendapat diskaun atau rebat tambahan, gunakan kad keahlian untuk mengumpul mata. Jika boleh, beli secara borong dan kongsi dengan sanak-saudara atau rakan-rakan. Elak membeli di kedai serbaneka kerana harganya jauh lebih mahal.
Ketagihan
Ini adalah masa yang paling sesuai untuk meninggalkan ketagihan, pada masa yang sama menjimatkan wang. Antara ketagihan yang paling ketara melibatkan orang muda kini ialah rokok, kopi, dan makanan bergula. Selain tidak baik untuk kesihatan, meninggalkan tabiat itu baik untuk poket anda.
Utiliti
Peratusan perbelanjaan yang signifikan dan tetap ialah bil-bil utiliti seperti elektrik, air, telefon, internet serta saluran tv berbayar. Tidak boleh dielak tetapi jika anda benar-benar peka, ia boleh dikurangkan (atau kekal). Sentiasa pastikan tiada paip yang bocor, penghawa dingin dalam keadaan baik, soket dan peralatan elektrik yang tidak digunakan ditutup. Ini kerana mana-mana kerosakan atau masalah boleh menyebabkan bil elektrik naik.
Kesihatan
Masalah kesihatan boleh berlaku pada bila-bila masa. Sentiasa asingkan sedikit wang untuk tujuan kecemasan. Kepada mereka yang mengamalkan makan suplemen misalnya, boleh merancang untuk membeli secara bijak, sama ada secara borong, waktu promosi atau pilihan yang lebih murah. Walaubagaimanapun, jangan sekali-kali membeli suplemen yang tidak mempunyai kelulusan kementerian, semata-mata kerana mahu menjimatkan wang. Ada juga ubat-ubatan yang boleh diperolehi secara percuma atau separuh harga (subsidi) di hospital dan klinik kerajaan.
Penjagaan kesihatan seperti kelas senaman, yoga, tarian, meditasi dan sebagainya juga boleh dirancang secara bijak.
Membeli-belah
Kadang-kala ia sejenis terapi tetapi tidak bermakna anda boleh terlebih belanja untuk perkara yang tidak perlu. Pada waktu begini, belajarlah mengawal nafsu. Beli-belah secara dalam talian juga adakalanya lebih menjimatkan dan memudahkan, mungkin ia boleh dijadikan pilihan.