
Pencemaran udara boleh membunuh, khususnya bagi kanak-kanak di bawah 5 tahun.Satu kajian oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, kira-kira 300 juta kanak-kanak dunia berkemungkinan menghadapi masalah kecacatan fizikal serius, termasuk kerosakan otak kerana udara luar yang kotor.
Menurut kajian Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), satu daripada 7 kanak-kanak di seluruh dunia terdedah kepada udara luar yang 6 kali lebih kotor daripada garis panduan antarabangsa.
Laporan UNICEF itu dikeluarkan seminggu lebih awal sebelum rundingan perubahan iklim tahunan PBB, yang akan dianjurkan di Maghribi pada November 7-18.
Justeru, agensi yang berjuang demi hak dan kesejahteraan kanak-kanak itu menggesa pemimpin dunia supaya mengambil tindakan segera bagi mengurangkan pencemaran udara di negara mereka.

“Pencemaran udara adalah faktor utama kematian 600,000 kanak-kanak di bawah 5 setiap tahun selain mengancam nyawa berjuta-juta lagi kanak-kanak setiap hari,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Anthony Lake.
“Pencemaran bukan hanya membantutkan perkembangan peparu kanak-kanak malah menghalang saluran darah otak dan merosakkan otak secara kekal. Masyarakat tidak sepatutnya mengabaikan masalah pencemaran udara,” kata Lake.
Imej satelit mendedahkan terdapat kira-kira 2 bilion kanak-kanak hidup di kawasan pencemaran udara yang melebihi garis panduan kualiti udara minimum yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Udara-udara tersebut diracuni asap kenderaan, bahan api fosil, habuk, sisa pembakaran dan bahan cemar bawaan udara lain, katanya.
Kanak-kanak di Asia Selatan paling ramai terdedah kepada pencemaran udara merbahaya iaitu kira-kira 620 juta orang diikuti oleh Afrika 520 juta serta Asia Timur dan Pasifik dengan 450 juta orang.
Kajian ini turut mengambil kira pencemaran udara dalaman seperti pembakaran arang batu dan kayu untuk memasak dan pemanasan.

Pencemaran udara luaran dan dalaman secara langsung dikaitkan dengan penyakit radang peparu dan penyakit berkaitan pernafasan lain. Ia juga menyebabkan satu kematian dalam 10 kanak-kanak di bawah 5 tahun.
Ini membuktikan pencemaran udara sebagai ugutan kesihatan terbesar kepada kesihatan kanak-kanak, tegas UNICEF.
Agensi itu juga melapor kanak-kanak sebagai paling mudah terkesan akibat pencemaran udara dalaman dan luaran berbanding orang dewasa kerana peparu, otak dan sistem imun serta pernafasan mereka masih sedang berkembang.
Bukan itu sahaja, kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan adalah golongan yang kerap dijangkiti masalah kesihatan berkaitan pencemaran udara kerana tahap kesihatan yang buruk dan akses yang minima kepada perkhidmatan kesihatan.
Oleh itu, UNICEF menggesa agar langkah yang lebih kukuh diambil untuk mengurangkan pencemaran, meningkatkan akses kanak-kanak kepada penjagaan kesihatan dan memantau serta mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada udara tercemar.