Harga minyak naik? Jom masak tanpa minyak

Harga minyak naik? Jom masak tanpa minyak

Terdapat beberapa cara alternatif yang sihat untuk memasak tanpa minyak, mungkin sudah tiba masanya kita mempertimbangkan kaedah-kaedah tersebut.

minyak naik cover pic
Credit: Gambar fail
fmt ohsem inside articleKenaikan harga minyak masak telah menjadi topik bualan hangat sejak rasionalisasi harga diperkenalkan pada 1 November.

Kerajaan mengumumkan bulan lalu bahawa harga minyak masak akan mengikut harga pasaran, namun subsidi dikekalkan bagi minyak masak yang dijual dalam paket 1 kilogram.

Perkara ini sudah pasti membimbangkan ramai pengguna di kala kos sara hidup yang tidak seimbang. Kerisauan juga timbul apabila memikirkan kemungkinan kedai makan menaikkan harga makanan.

Mengambil kira faktor ini, FMT Ohsem menyenaraikan beberapa cara untuk mengatasi masalah ini. Ia melibatkan kaedah memasak tanpa minyak, menggunakan pengganti minyak masak ataupun peralatan masakan yang menyokong masakan tanpa minyak.

Kaedah memasak

1. Rebus
Sihat dan mudah, serta tidak menggunakan minyak. Biasanya kaedah merebus boleh digunakan untuk makanan berasaskan kentang, telur, keledek dan sayur. Stimbot juga salah satu contoh paling dekat di mana kaedah merebus digunapakai.

2. Bakar
Anda boleh memilih untuk membakar makanan khususnya makanan berasaskan ayam dan ikan serta makanan laut. Kebiasaannya, kaedah ini dimulakan dengan memerap bahan makanan menggunakan herba atau bahan-bahan perapan yang lain, kemudiannya dibalut dengan daun pisang dan bakar.

3. Panggang
Juga menggunakan kaedah yang lebih kurang sama seperti membakar, anda boleh memilih untuk memanggang makanan seperti ayam, daging dan sayur. Ia mungkin mengambil masa yang lebih lama, tetapi, berbaloi.

4. Kukus
Mengukus makanan merupakan satu lagi kaedah memasak yang sihat menggunakan wap air. Makanan seperti nasi, pau, sayur, kuih-muih serta kek boleh dimasak menggunakan cara ini.

Pengganti minyak masak

1. Sapi
Sapi adalah pengganti minyak yang paling sihat, menurut sains ayurveda. Diet ayurveda amat menggalakkan penggunaan sapi dalam makanan berbanding minyak. Ia bukan sahaja baik untuk kesihatan malah memberi aroma dan rasa yang sangat sedap dan unik.

2. Mentega/Majerin
Secara amnya, pilihan ini kelihatan seperti tidak begitu sihat, namun terdapat banyak pilihan mentega/marjerin di pasaran. Mentega atau marjerin juga sering digunakan sebagai pengganti minyak masak khususnya untuk makanan barat. Ia juga membuatkan makanan berbau wangi dan sedap. Jika memilih mentega atau majerin, pastikan tidak dibiarkan lama dalam kuali kerana ia mudah terbakar dan hangit.

3. Puri buah atau sayur
Sekiranya anda ingin membakar kek, bahan seperti sos epal, pisang lenyek, puri kurma juga boleh digunakan sebagai pengganti minyak, mentega atau majerin. Dalam keadaan tertentu, tepung kacang atau mentega kacang boleh juga digunakan sebagai pengganti atau penambahan.

4. Air
Ya, anda sebenarnya boleh menumis dan memasak makanan menggunakan air atau air rebusan. Caranya ialah dengan menambah air dalam jumlah kecil (1-2 sudu) pada satu masa dan diulangi beberapa kali. Pastikan makanan dikacau supaya tidak terbakar. Pilihan ini adalah terbaik untuk makanan berasaskan sayur.

Peralatan masakan

1. Kuali tidak melekat
Gunakan kuali ‘non-stick’ untuk memasak tanpa minyak. Anda boleh menggoreng makanan atau sauté tanpa menggunakan minyak dan tanpa ia melekit pada kuali. Panaskan kuali dan tambah sesudu air sebelum masak. Kacau dan tutup kuali supaya makanan dimasak dengan cepat. Elakkan menggoreng bawang di dalam kuali tidak melekat kerana ia boleh meninggalkan bau yang kurang enak.

2. ‘Air fryer’
Pernahkah anda mendengar tentang periuk goreng menggunkan tekanan udara atau ‘air fryer’? Beberapa jenama terkemuka seperti Philips dan Amway memperkenalkan peralatan ini yang turut digambarkan sebagai penemuan tercanggih dunia masakan. Hanya atur makanan dalam periuk dan gunakan butang untuk menentukan kadar tekanan udara dan goreng makanan tanpa minyak. Mudah kan? Walaupun tekstur makanannya kering, ia merupakan pilihan yang sihat.

3. Ketuhar
Sekiranya anda gemar memakan nuget ayam, masukkan nuget dalam dulang dan bakar dalam ketuhar, tak perlu minyak dan api atau dapur. Terdapat pelbagai jenis bahan makanan lain yang juga boleh dimask terus menggunakan ketuhar tanpa menggunakan minyak.

Apa kata anda? Yang sebenarnya banyak cara untuk kita memasak tanpa menggunakan minyak. Selamat mencuba!

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.