Alami keunikan Little India

Alami keunikan Little India

Selain membeli-belah di kompleks yang sudah menjadi kebiasaan, bawalah keluarga anda berkunjung ke Little India untuk mendapatkan sedikit kelainan.

Free Malaysia Today
Gambar FMT Ohsem / Nizha Periaswamy
fmt ohsem inside articleAcap kali melalui Jalan Tengku Kelana di Klang, mata pasti terpukau dengan persekitaran yang penuh warna-warni. Ke mana sahaja mata memandang, kepelbagaian variasi pakaian, manisan, bunga-bunga, aksesori dan sebagainya menarik perhatian pengunjung.

Begitulah tarikan di lokasi yang sudah sinonim dengan penjenamaan ‘Little India’.

Di kaki lima deretan kedai di jalan tersebut pula seolah-olah tidak lengkap tanpa kehadiran ‘peniaga kecil’ yang bertapak dari awal pagi hingga lewat petang ataupun malam. Lazimnya mereka menjual bunga, sayur-sayuran, aksesori atau menawarkan perkhidmatan menilik tangan. Semuanya menambah nilai elemen kebudayaan ‘Little India’, bandar komersial ala India di Klang.

Begitu juga di ‘Little India’ Brickfields yang menjadi tarikan pelanggan metropolitan serta pelancong dari luar negara. Terletak berdekatan KL Sentral di ibu kota, ia dikemas kini dengan pelbagai elemen nilai pelancongan seperti gerbang pintu masuk dengan rekaan ala empayar Maharaja India, patung gajah dan air pancut setinggi hampir tujuh meter.

Lokasi yang pernah menjadi titik bersejarah apabila menerima kunjungan Perdana Menteri India, Manmohan Sigh itu, ternyata jauh lebih ‘maju’ berbanding ‘Little India’ di Klang.

“Kedua-dua lokasi Little India (Klang dan Brickfields) agak dekat dari segi jarak. Iaitu sekitar 35 minit perjalanan menaiki kereta atau kurang daripada 40km. Namun, masing-masing mempunyai daya tarikan dan keistimewaannya tersendiri,” ujar Kalaiarasu Ananthan, 37, dari Shah Alam.

Gemar berjalan-jalan di ‘Little India’ Klang, Kalaiarasu akui, ia lebih kaya dengan elemen tradisional. “Bukan bermegah tetapi saya rasa jika anda seorang yang berbangsa India dan datang membeli-belah untuk tujuan sembahyang, perkahwinan, majlis kebudayaan atau bersahaja, ‘Little India’ di Klang tidak akan mengecewakan,” katanya ketika ditemui FMT Ohsem baru-baru ini.

BRICKFIELDS 7 Okt 2010 Tinjauan senibina di Little India jalan Brickfields, semalam. Gambar dg:azli ahad
Gambar FMT Ohsem / Nizha Periaswamy

Sungguhpun ‘Little India’ Klang merujuk kepada Jalan Tengku Kelana, namun realitinya, ia meliputi sepanjang atau sebahagian Jalan Dato Hamzah, Jalan Tengku Diauddin dan Jalan Stesen berhadapan Stesen Komuter, Klang.

V.Tamilselvi, 29 dari Kajang, juga memilih Klang kerana pilihan sari dan pakaian tradisional yang didatangkan khas dari negara India seperti Churidar, Salwar Kammez, Kurtha, Kurthi, Jippa, Dhoti, selendang, material kain dan banyak lagi.

Di samping pakaian, kedai batu permata dan kedai emas merupakan antara tarikan di ‘Little India’ Klang. Terdapat pelbagai kedai emas berskala kecil hingga besar terdapat di sini, menjadikan lokasi ini umpama lombong emas!

Mungkin kerana emas merupakan sebahagian besar daripada aksesori wajib kaum India, maka pelanggan tidak putus memasuki kedai-kedai ini di kala harga emas yang makin melambung tinggi.

“Saya membeli semua jenis rempah-ratus, barangan keperluan rumah, barangan untuk memasak, sembahyang, buah-buahan, dan manisan di sini. Barangan untuk perayaan, majlis kebesaran semuanya ada di sini,” kata K. Periaswamy, 66 yang sibuk memasukkan bungkusan berisi rempah-ratus yang baru sahaja dibelinya di kedai, M.A.Palaniandy Store di Klang.

SELANGOR 8 JULAI 2012 - Jalan Tengku Kelana ( Little India ) antara tempat yang ditinjau semasa Tinjauan ke tempat Pelancongan dan bersejarah di Sekitar Klang, Selangor di sini, hari ini. Gambar ; SHAFIQ NOH ( Pelatih UNISEL ) / Pemberita ; ROSMALINA ( Rencana Kosmo )
Gambar FMT Ohsem / Nizha Periaswamy

Periaswamy berkunjung ke ‘Little India’ Klang setiap minggu. “Deretan gerai di hujung Jalan Tengku Kelana ini adalah gerai bunga. Semua jenis bunga, malai dan keperluan sembahyang seperti sirih serta pinang dijual di situ. Saya tidak perlu banyak berjalan. Mudah mendapatkan semua barangan di sini,” tambah warga emas itu lagi.

Jika anda memilih berjalan di sekitar ‘Little India’ Klang, banyak keterujaan yang menanti. Tambahan pula jika terdapat musim perayaan, kawasan ini sesak dengan orang ramai, tidak kira yang datang untuk membeli-belah atau sekadar melepak melihat suasana sambutan.

“Saya sekeluarga juga memilih ‘Little India’ Klang kerana ia kaya dengan makanan India masakan utara dan selatan, Sri Lanka, India Muslim mahupun Melayu dan Cina. Ini adalah bandar yang penuh kepelbagaian dari segi makanan,” kata Kalaiarasu kepada FMT.

Itu adalah sebahagian senario di ‘Little India’ Klang, yang mana hampir sama dengan ‘Little India’ Brickfields. Bezanya di Brickfields, anda mempunyai pilihan yang lebih banyak dan pelbagai dari segi tempat penginapan, pengangkutan, pusat kebudayaan, pusat hiburan, pusat sukan dan rekreasi, pusat komersial, bank-bank dan sebagainya.

Juga, ‘Little India’ Brickfields, memiliki nilai komersial yang lebih tinggi berbanding mana-mana kawasan ‘Little India’ di seluruh negara disebabkan lokasinya dan pengiktirafan yang diberikan oleh perdana menteri kita sendiri, Datuk Seri Najib Razak pada 2010.

Tidak ketinggalan pusat-pusat ibadah yang menjadikan Brickefields sebagai ikon lokasi keagamaan.

“Di sini terdapat banyak gereja, kuil Buddha dan tentu sekali kuil Hindu. Mungkin kerana demografi penduduk di sini yang beragama Hindu dan Kristian, manakala ramai pekerja asing korporat pula daripada agama Buddha.

Selain itu, ‘Little India’ Brickfields juga pernah dipopularkan melalui buku, ‘Brickfields: A Place, A Time, A Memory’,” kata Vishnu Varashan yang menjalankan perniagaan berbentuk hiburan di Brickfields.

Kawasan sekitar Little India di Brickfields meliputi jalan-jalan Tun Sambanthan, Jalan Berhala dan Jalan Sultan Abdul Samad, Jalan Travers dan jalan-jalan kecil yang lain. Secara geografinya ia lebih besar daripada kawasan ‘Little India’ Klang.

“Terlalu banyak perkara yang boleh diceritakan mengenai ‘Little India’ Brickfields. Mengenai kekayaan budaya yang menjadi tarikan pelancong sehingga pelbagai kerja pembangunan aktif dijalankan di sekitar kawasan ini. Musim Deepavali atau mana-mana perayaan, tempat ini sangat meriah dengan gerai-gerai kecil dan besar di sepanjang jalan ini,” kata Vishnu.

Kawasan ini juga menjadi sarang penempatan golongan profesional dari India. Mereka tinggal di pangsapuri mewah sekitar Brickfields dan memeriahkan suasana persekitaran ‘Little India’ Brickfields apabila sering kali dilihat berlegar di kawasan itu memakai sari atau pakaian sut Punjabi bagi wanita.

Menurut Kayatri Gunaseelam yang tinggal di kawasan ‘Little India’ Brickfields, kedatangan golongan ekspatriat India dan profesional memberi impak yang sangat besar kepada kawasan ini.

“Kadang-kala, menjelang musim sukan kriket, iaitu Indian Premier League (IPL) kebanyakan restoran dibanjiri mereka dan suasana seakan-akan anda berada di sebuah negara lain,” katanya yang berasal dari Tampin, Johor.

‘Little India’ Brickfields mahupun Klang ternyata memberi kesan yang mendalam kepada gaya hidup dan nilai komersial pelancongan kawasan tersebut. Memiliki sebuah lokasi khas digelar ‘Little India’, sekali gus membuktikan penerimaan kepelbagaian budaya dan kekayaan variasi di bumi Malaysia.

Selain kedua-dua lokasi yang diceritakan, kawasan ‘Little India’ turut wujud di bandar raya lain di negara ini yang mempunyai demografi penduduk berbangsa India yang ramai. Antaranya ialah Johor Bahru, Pulau Pinang dan juga Sungai Petani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.