Naib presiden Warisan direman 5 hari

Naib presiden Warisan direman 5 hari

Lebih 150 penyokong berhimpun di mahkamah sebagai sokongan kepada Peter Anthony.

peter-anthony-sprm-kene-tangkap-malaysia-1
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah Peter Anthony direman 5 hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Stephanie Sherron Abbie mengeluarkan perintah reman itu berkuatkuasa hari ini berikutan permohonan daripada SPRM.

Perintah reman juga turut dikeluarkan terhadap ahli perniagaan Yu Sin Kong.

Mereka berdua tiba di mahkamah hari ini dengan tangan bergari dan berpakaian lokap jingga dan dibawa masuk ke kamar Stephanie oleh pegawai SPRM.

Peter diwakili peguam Martin Tommy, Loretto Padua Jr dan Cedric Choo manakala Yu diwakili peguam Edward Paul.

Peter ditahan selepas menghadirkan diri ke pejabat SPRM pada Khamis untuk dirakamkan keterangan.

Sebelum ini, beberapa ahli perniagaan dan kontraktor di Sabah menerima projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang ketika itu dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal, yang kini presiden Warisan.

Lebih RM150 juta wang tunai dirampas selepas SPRM memulakan siasatan ke atas dakwaan penggelapan dana daripada kementerian itu.

Borneo Post melaporkan Peter sebelum ini menafikan pernah membuat tuntutan palsu melebihi RM42 juta ketika melakukan kontrak kerja dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Peter berkata syarikatnya menerima sijil mengesahkan ia menyelesaikan kontrak daripada UMS dengan mematuhi segala peraturan dan skop kerja yang ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.