Polis akan siasat jika wujud sabotaj buku Sukan SEA

Polis akan siasat jika wujud sabotaj buku Sukan SEA

Ia selepas laporan polis dibuat berhubung kesilapan pada bendera Indonesia yang mencetuskan kemarahan Jakarta.

Khalid-Abu-Bakar
KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat secara mendalam termasuk sama ada wujud unsur sabotaj dalam isu melibatkan bendera Indonesia dicetak terbalik dalam buku cenderahati Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, laporan polis sudah diterima berhubung perkara itu.

“Kita akan siasat untuk lihat sama ada terdapat unsur sabotaj atau tidak. Biarkan kami jalankan siasatan dahulu sebelum tindakan seterusnya,” katanya kepada wartawan hari ini.

 

Sabtu lalu, Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi menyelar penganjur selepas mendapati bendera negaranya dicetak secara terbalik dalam buku cenderahati khas KL2017.

Ia memaksa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengarahkan supaya semua naskhah buku rasmi itu tidak diedarkan lagi.

Khairy yang menyelia Jawatankuasa Penganjur Malaysia Sukan SEA 2017 turut bertemu dengan Iman dan memohon maaf kepada rakyat Indonesia.

Sementara itu, mengulas mengenai tahap keselamatan sepanjang Sukan Sea 2017, Khalid berkata keadaan terkawal dan tahap keselamatan sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Langkah keselamatan ketat itu menyebabkan aduan pengunjung terpaksa berbaris panjang beratur.

“Itu kita tidak boleh kompromi kerana itu isu keselamatan. Kalau terpaksa beratur, kita tidak boleh buat apa, yang penting semuanya selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.