
Peguam Isa, Datuk K Kumaraendran berkata Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Datuk Zainal Abidin Kamarudin yang mengendalikan prosiding itu membenarkan Isa, 68, dibebaskan dengan jaminan RM150,000 dengan 2 penjamin selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memohon untuk lanjutan tahanan reman.
Beliau ditahan reman sejak Rabu lalu.
Peguam itu berkata Isa kemungkinan akan dipanggil semula sebagai saksi jika mana-mana pihak dituduh berhubung kes itu.
“Beliau hanya dipanggil untuk membantu dalam siasatan, bukan sebagai suspek,” kata Kumaraendran.
Kira-kira 80 penyokong Isa dan isterinya Bibi Sharliza Mohd Khalid berhimpun di pekarangan Mahkamah Majistret sejak pukul 9 pagi. Mereka melaungkan “hidup Tan Sri” ketika Isa tiba di kawasan mahkamah sekitar 9.50 pagi.
Isa kelihatan tersenyum sebaik keluar dari bilik bicara mahkamah pada kira-kira 10.45 pagi.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu kelihatan bertenaga meskipun ditahan reman sepanjang 5 hari lalu.
Isa yang dilantik pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selepas ditamatkan jawatannya di Felda Global Ventures (FGV), ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 2.40 petang Selasa lalu.
Bulan lepas, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di Kensington, London pada 2014 oleh FIC, yang dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran, mendatangkan kerugian jutaan ringgit terhadap anak syarikat Felda itu.
SPRM turut menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, yang juga dipercayai melibatkan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.
Susulan penangkapannya, rumah Isa di Selangor turut diserbu pegawai penyiasat.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengesahkan serbuan dilakukan di kediaman Isa sebahagian daripada siasatan ke atas pembelian hotel oleh FIC.
FIC dilaporkan membeli sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London pada £60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.
Isa selaku pengerusi Felda ketika itu dilaporkan berkata pembelian pembelian Grand Plaza Kensington itu sebahagian daripada “langkah strategik” FIC untuk mempelbagaikan aset dan memastikan ia dapat “memaksimumkan pulangan pelaburan” syarikat.
Kertas siasatan dibuka atas arahan Dzulkifli bagi menyiasat pembelian yang disyaki dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran.
Berdasarkan maklumat siasatan awal SPRM, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.