Isa Samad hadir mahkamah berbaju lokap SPRM

Isa Samad hadir mahkamah berbaju lokap SPRM

Ia sehari selepas pengerusi SPAD itu ditangkap dan rumahnya diperiksa SPRM.

isa-samad
PUTRAJAYA: Tan Sri Isa Samad hari ini tampil di Mahkamah Majistret di sini dengan memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sehari selepas ditangkap untuk membantu dalam siasatan kes pembelian 2 hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Bekas pengerusi Felda itu tiba pada jam 9.08 pagi bagi mendengar permohonan reman ke atasnya oleh SPRM.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada beliau digari oleh kerana kedua tangannya tersorok.

Pendengaran dipengerusikan Datuk Zainal Abidin Kamaruddin, manakala Isa diwakili peguamnya, Devkumar Kumaraendran. SPRM diwakili timbalan pendakwaraya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Turut hadir ialah isteri Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan anak mereka, serta bekas pemimpin Umno Tamrin Ghafar, yang juga anak kepada bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba.

Isa, yang dilantik pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selepas ditamatkan jawatannya di Felda Global Ventures (FGV), ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 2.40 petang semalam.

Bulan lepas, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di Kensington, London, pada 2014 oleh FIC, yang dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran, mendatangkan kerugian jutaan ringgit terhadap anak syarikat Felda itu.

SPRM turut menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, yang juga dipercayai melibatkan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

Susulan penangkapannya, rumah Isa di Selangor semalam turut diserbu pegawai penyiasat.

“Itu proses biasa… lepas tangkap, kita akan buat pemeriksaan di rumah,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.