Rata-ratanya berpendapat, bayaran ditawarkan pelabur untuk mendapatkan aset milik mereka berdekatan jajaran projek Keretapi Laju (HSR) pasti tinggi dan wajar dilepaskan.
Meskipun mengakui sedih tanah yang diwarisi terpaksa dilepaskan, ia perlu akibat desakan hidup selain memerlukan wang segera.
Penduduk Muar, Ezam Ahmad, 48, berkata penawaran harga tinggi untuk membeli tanah oleh pelabur, sama ada warga asing atau tempatan tidak harus dilepaskan.
“Bila lagi kita boleh merasa wang yang banyak? Kalau ia kena dengan harganya, sudah tentu saya sanggup jual tidak kiralah warga Singapura atau China.
“Sayang akan tanah itu memanglah sayang, tetapi siapa yang tidak mahu kaya? Lagi-lagi keadaan ekonomi sekarang ini yang tidak memberangsangkan, kita memang perlu duit,” katanya ketika ditemui FMT di sini, baru-baru ini.
Penduduk Labu, Zulkifli Talib, 40, berkata tanah di sekitar Labu diumpamakan seperti ‘lombong emas’ dan bernilai sekurang-kurangnya RM5 juta untuk tanah seluas 0.4 hektar.
Katanya, dia tiada masalah untuk melepaskan aset asalkan harga yang dibayar pelabur berbaloi dan akan melabur wang hasil jualan tanah itu untuk membeli tanah yang lebih murah di tempat lain.
Sementara itu, Azmi Amar, 62, yang menetap di Tehel berdekatan Ayer Keroh berkata, dia tidak akan sesekali menjual tanah miliknya.
Katanya, pelabur terutama warga asing yang mempunyai modal akan mengambil kesempatan untuk membeli tanah orang kampung dengan harga murah.
Katanya, tanah miliknya tidak akan dijual kerana mahu mewariskannya untuk anak dan cucu supaya boleh dijadikan tempat tinggal dan bercucuk tanam kelak.
Awal minggu ini, Presiden Institut Ejen-ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Erick Kho yang dilaporkan oleh Nanyang Siang Pau memberitahu, pelabur dari Singapura dan China mengintai tanah sepanjang jajaran HSR untuk dijadikan modal menjana keuntungan.
Projek kendalian MyHSR Corp Sdn Bhd yang dianggarkan memakan belanja lebih RM65 bilion itu, bakal menghubungkan Singapura dengan Kuala Lumpur melalui hentian di Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya.