
Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS mempunyai mekanisme tersendiri dalam menguruskan pimpinannya dan tidak bertindak mengikut kehendak pihak luar.
“Tiada keperluan untuk mengambil tindakan kerana PAS tidak bertindak atas kehendak pihak lain. Pelbagai mekanisme ada yang boleh digunakan,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, R Sanjeevan, menggesa PAS mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen Pasir Mas itu kerana didakwa konsisten melanggar arahan ‘mengunci mulut’ mengenai isu dalaman gabungan.
Gesaan itu menyusul kenyataan Fadhli baru-baru ini yang berkata PAS bersedia membantu bekas pemimpin Bersatu yang dipecat, Wan Saiful Wan Jan untuk bertanding di mana-mana kerusi pada pilihan raya akan datang.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata keputusan meletakkan sesiapa sahaja sebagai calon adalah hak mutlak PAS jika individu terbabit bukan lagi ahli mana-mana parti politik.
“Tak perlu berdendam sehingga ke liang kubur. Kami menghormati sesiapa sahaja yang masih menjadi ahli parti, namun bila dipecat, maka bebas menyertai dan bertanding atas parti barunya.
“Seperti Shahidan Kassim, Ismail Abd Muttalib, bahkan ramai dalam kalangan calon Bersatu juga berasal daripada parti lain sebelum ini,” katanya.
Ketegangan antara dua parti komponen utama PN itu semakin memuncak selepas Fadhli secara peribadi mencadangkan PAS dan Bersatu bergerak berasingan pada pilihan raya akan datang susulan pertikaian terbuka mengenai kekuatan jentera parti.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengeluarkan arahan rasmi meminta semua ahli dan pimpinan ‘mengunci mulut’ serta menyerahkan sepenuhnya kepada Presiden Hadi Awang mengendalikan perkara membabitkan hubungan parti itu dengan rakan komponen dalam PN.