

Bendahari PAS, Iskandar Abd Samad, berkata PKR sepatutnya menyelesaikan isu ‘perpecahan dalaman’ mereka susulan pengambilalihan parti Bersama pimpinan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum berhasrat mahu mengajar partinya bertanding mana-mana kerusi.
“PKR tak perlu ambil tahu tentang kerusi PAS akan bertanding, tetapi fokus kepada usaha mempertahankan kerusi mereka dengan kemunculan Bersama bawah kumpulan Rafizi.
“PKR tertekan apabila keahlian Bersama meningkat dengan cepat,” katanya kepada FMT.
Pada 1 Jun lalu, Ketua Penerangan PKR Melaka, Eddiarman Mohd Yunos, mencabar PAS menjadikan PRN Melaka sebagai pentas membuktikan kekuatan sebenar khususnya di kerusi tradisi DAP.
Katanya, cadangan supaya PAS dan Bersatu bergerak berasingan menjelang PRN berkenaan adalah langkah terbaik untuk menguji kekuatan akar umbi serta sokongan rakyat terhadap parti tersebut.
Kenyataan itu susulan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan partinya dan Bersatu bergerak berasingan dalam pilihan raya berikutan pertikaian mengenai kekuatan jentera dalam Perikatan Nasional (PN).
Fadhli merujuk video ceramah Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali di Melaka Sabtu lalu yang meminta pihak tertentu ‘buka mata, buka telinga, jangan pekak’ terhadap keupayaan Bersatu.
Dalam pada itu, Iskandar berkata PAS mempunyai strategi sendiri untuk meletakkan calon termasuk di kerusi DAP dan ia bukan sesuatu yang janggal.

“PAS pernah bertanding di kerusi DAP sebelum ini. Sama ada ia akan berlaku lagi atau tidak, kita tunggu dan lihat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Halimah Ali, berkata parti akan membuat keputusan berdasarkan analisis politik sendiri, bukan bertindak reaktif terhadap provokasi lawan termasuk meletakkan calon di kubu DAP.
“Perkiraan PAS sudah tentulah mengikut strategi sendiri dan tidak perlu makan umpan pihak yang mungkin mahu mengalih perhatian pengundi,” katanya.