Polis sah terima laporan budak 7 tahun dipaksa minum air cili

Polis sah terima laporan budak 7 tahun dipaksa minum air cili

Kejadian itu sebelum ini didedahkan menerusi laman Facebook 'This is Johor'.

Bahrin Mohd Noh
Ketua Polis Kluang Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya terima laporan daripada penjaga kanak-kanak itu kira-kira 8.46 malam semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis telah menerima laporan berkaitan kejadian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun didakwa dipaksa minum air cili di sebuah taska di Kluang malam tadi.

Ketua Polis Kluang Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan daripada penjaga kanak-kanak itu kira-kira 8.46 malam.

Menurutnya, pengadu tidak berpuas hati dengan tindakan guru taska terletak di Taman Sri Kluang yang memaksa kanak-kanak itu minum air cili.

“Kes masih dalam siasatan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang menerusi talian 07-7784222.

Terdahulu, tular kenyataan dimuat naik di laman Facebook ‘This is Johor’ berhubung tindakan dilakukan guru taska itu yang didakwa mendera dan menghukum pelajar secara fizikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.