
Menteri Pertahanan Khaled Nordin, berkata keputusan tidak meluluskan lesen eksport berkenaan adalah punca utama kepada kemelut itu.
“Punca kepada segala-galanya ialah keputusan Norway untuk tidak meluluskan lesen eksport ke Malaysia. Oleh itu, Norway tidak boleh lepas tangan dalam perkara ini kerana keputusan mereka yang menyebabkan masalah ini berlaku,” katanya menurut Bernama, di Kota Tinggi.
Khaled berkata, beliau telah menyampaikan pendirian tegas Malaysia kepada rakan sejawatnya dari Norway baru-baru ini dan menyatakan bahawa bantuan mempercepatkan bayaran balik berkenaan adalah bukti sekiranya mereka ikhlas mahu menjaga hubungan dua hala.
Khaled ketika mengulas mengenai kaedah bayaran mencadangkan agar kerajaan Norway mendahulukan bayaran ganti rugi itu kepada Malaysia, sebelum mereka menguruskan tuntutan semula daripada syarikat pertahanan yang terlibat.
“Syarikat yang gagal memenuhi kontrak ini adalah syarikat Norway. Jadi, sebagai sebuah kerajaan, Norway boleh berunding dengan syarikat mereka sendiri daripada memaksa Malaysia menunggu tanpa sebarang kepastian,” katanya.
Beliau berkata, dana berkenaan amat diperlukan segera bagi membolehkan Kementerian Pertahanan memperoleh sistem peluru berpandu alternatif untuk kegunaan tentera laut.
Khaled turut menyifatkan tindakan unilateral itu bukan sekadar isu kerugian kewangan, malah menjejaskan kepercayaan antarabangsa terhadap jaminan undang-undang, perjanjian global, dan keabsahan kontrak pertahanan telah ditandatangani serta dibayar.
Beliau ketika mengulas mengenai implikasi kewangan menganggarkan kerugian langsung yang dialami Malaysia adalah melebihi RM600 juta (harga misil), manakala kos tidak langsung melonjakkan impak keseluruhan bernilai lebih RM1 bilion.
“Kos tambahan itu merangkumi proses mencari sistem pengganti, integrasi sistem persenjataan baharu pada kapal serta keperluan latihan baharu. Jadi, siapa yang akan menanggung kos ini sedangkan kegagalan bekalan bukan berpunca daripada Malaysia?” katanya.
Dalam pada itu, Khaled berkata kementeriannya kini sedang menilai secara aktif tawaran alternatif daripada beberapa negara termasuk Itali, Perancis, Turki, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun bagi menggantikan pembekalan peluru berpandu dari Norway.
Beliau bagaimanapun berkata, aset itu perlu berada dalam fasa pengeluaran aktif bagi mengelakkan tempoh menunggu lama.
Mengenai permohonan maaf daripada Norway baru-baru ini, Mohamed Khaled menerima perkara itu namun mengesahkan tindakan undang-undang serta tuntutan ganti rugi ke atas kegagalan perolehan itu tetap diteruskan.
Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara tentera laut dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam LCS baharu.