Pemimpin Warisan seru kerajaan cegah salah guna dasar tanpa visa

Pemimpin Warisan seru kerajaan cegah salah guna dasar tanpa visa

Naib Presiden Junz Wong dakwa rakyat Sabah semakin bimbang tentang warga asing menjalankan perniagaan haram.

Warisan Candidate Tanjung Aru-Junz Wong
Junz Wong seru pemeriksaan lebih ketat dan tindakan tegas terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan atau bekerja secara haram.
PETALING JAYA:
Kerajaan Sabah mesti memperketatkan syarat kemasukan dengan serta-merta dan memperkukuh penguatkuasaan bagi mencegah penyalahgunaan dasar tanpa visa Malaysia oleh warga asing, yang didakwa menjalankan perniagaan haram di negeri itu, kata Naib Presiden Warisan, Junz Wong.

Wong mendakwa rakyat Sabah, terutama perniagaan tempatan dan penyedia perkhidmatan, semakin bimbang dengan hantaran di media sosial oleh warga asing yang menawarkan perkhidmatan secara terbuka seperti kerja paip dan pengubahsuaian rumah pada harga yang kompetitif.

“Kes-kes ini bukan lagi insiden terpencil. Rakyat Sabah semakin bimbang apabila mendapati sesetengah warga asing secara terbuka mengendalikan perniagaan dan menawarkan perkhidmatan berbayar walaupun memegang pas lawatan sosial.

“Trend ini telah wujud agak lama, namun rakyat Sabah percaya keadaan menjadi lebih buruk berikutan pelaksanaan dasar perjalanan tanpa visa Malaysia-China pada 2024,” lapor Borneo Post yang memetik kenyataan Wong.

Adun Tanjung Aru itu meminta kerajaan negeri, imigresen, pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan berkaitan untuk menyemak semula mekanisme pemantauan, menjalankan pemeriksaan lebih ketat, serta mengambil tindakan tegas terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan atau bekerja secara haram.

Wong berkata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, baru-baru ini menyatakan di Parlimen bahawa kemasukan tanpa visa untuk warga China adalah terhad bagi tujuan pelancongan dan lawatan sosial, manakala sebarang bentuk pekerjaan atau kerja profesional berbayar memerlukan visa dan permit kerja yang sah.

“Jika kerajaan persekutuan sendiri mengiktiraf risiko penyalahgunaan ini dan telah memperketatkan syarat, pihak berkuasa Sabah tidak sewajarnya leka atau longgar dalam penguatkuasaan,” katanya.

Wong turut mengingatkan rakyat Sabah agar sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan penipuan oleh pengendali asing yang menawarkan perkhidmatan kerja paip, pengubahsuaian dan perkhidmatan teknikal, menyatakan kes melibatkan kontraktor penipu sebelum ini pernah berlaku di Semenanjung juga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.