Sistem MyIMMs pulih sepenuhnya, tiada unsur serangan siber

Sistem MyIMMs pulih sepenuhnya, tiada unsur serangan siber

KDN jamin tiada kebocoran, kehilangan atau kerosakan data direkodkan sepanjang gangguan operasi sistem selama lebih 3 jam itu.

ketibaan antarabangsa klia
KDN berkata, gangguan libat MyIMMs jejas urusan pemeriksaan dan pemprosesan di beberapa pintu masuk negara hari ini berpunca daripada masalah teknikal dalaman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gangguan sementara melibatkan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang menjejaskan urusan pemeriksaan dan pemprosesan di beberapa pintu masuk negara hari ini tidak membabitkan sebarang insiden keselamatan siber, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN berkata, gangguan itu berpunca daripada masalah teknikal dalaman yang menjejaskan operasi sistem selama kira-kira tiga jam 45 minit sebelum tindakan pemulihan segera dilaksanakan.

Tambahnya, Jabatan Imigresen bersama pasukan teknikal berkaitan bertindak pantas sebaik insiden dikesan dan sistem berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 45 minit selepas kerja pemulihan dimulakan.

KDN turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna sepanjang tempoh gangguan itu dan menghargai kesabaran serta kerjasama yang diberikan.

“KDN ingin menegaskan bahawa gangguan yang berlaku tidak melibatkan sebarang insiden keselamatan siber,” katanya dalam kenyataan.

“Tiada kebocoran, kehilangan atau kerosakan data direkodkan dan semua maklumat yang disimpan dalam sistem kekal selamat serta terpelihara.”

Menurut KDN, pihaknya menyedari sistem kritikal yang beroperasi secara berterusan serta mengendalikan jumlah transaksi tinggi perlu dipantau dan ditambah baik secara berterusan agar kestabilan serta daya tahan sistem berada pada tahap optimum.

Pada masa sama, katanya, proses naik taraf sistem MyIMMs kepada Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan kapasiti, keupayaan serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pengguna, turut mengambil kira gangguan terhadap operasi sedia ada.

Sehubungan itu, KDN memaklumkan, Jabatan Imigresen sedang melaksanakan beberapa langkah pengukuhan termasuk meningkatkan kapasiti storan dan infrastruktur sistem, memperkukuh mekanisme pemantauan masa nyata, menambah baik pelan pemulihan gangguan serta mempercepat pelaksanaan projek naik taraf MyIMMs bagi meningkatkan ketahanan dan kebolehpercayaan sistem pada masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.