Saya tembak lembu mengamuk demi keselamatan, jelas MB Perlis

Saya tembak lembu mengamuk demi keselamatan, jelas MB Perlis

Abu Bakar Hamzah berkata, hanya seekor daripada 25 lembu korban ditembak pada kaki selepas haiwan itu terlepas dan mengamuk, sebelum disembelih.

mb tembak lembu
Terdahulu tular di media sosial video MB Perlis Abu Bakar Hamzah tembak lembu pada majlis ibadah korban sempena Aidiladha.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah mempertahankan tindakannya menembak seekor lembu korban yang didakwa mengamuk, menegaskan tindakan itu diambil demi keselamatan orang ramai.

Beliau berkata, dakwaan di media sosial yang menggambarkan seolah-olah lembu korban disembelih menggunakan kaedah tembakan adalah tidak benar.

Menurutnya, hanya seekor lembu ditembak selepas haiwan itu terlepas daripada ikatan dan mengamuk, manakala 24 ekor lagi disembelih mengikut prosedur biasa.

“Saya bukan tembak suka-suka. Lembu itu mengamuk. Kalau dibiarkan dan ia tanduk orang sampai mati, siapa hendak jawab?

“Bila ia terlepas, kita tidak boleh buat apa lagi. Jadi saya ambil senapang dan tembak pada kaki.

“Selepas ia jatuh, barulah kita sembelih,” katanya kepada FMT, menjawab kritikan berhubung video yang tular di media sosial.

Beliau menambah, tembakan pada kaki pada haiwan tersebut bertujuan menenangkannya sebelum disembelih.

Terdahulu, pengguna media sosial mempersoalkan tindakan Abu Bakar yang dilihat menggunakan senjata api untuk menembak seekor lembu korban di kawasan awam terbuka.

Tindakan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan ibadah korban di Perlis, khususnya berkaitan penggunaan senjata api dalam proses tersebut.

Selain itu, orang ramai turut mempersoalkan kesahan ibadah korban itu mengikut syariat Islam kerana ketika lembu itu dipusingkan oleh beberapa individu, haiwan tersebut dilihat sudah tidak lagi bergerak dan berada dalam keadaan longlai.

Semalam, media melaporkan Abu Bakar turun padang mengetuai proses penyembelihan 25 ekor lembu bersempena program korban perdana DUN Kuala Perlis

Pada majlis itu, Abu Bakar yang juga Adun Kuala Perlis menyembelih sendiri 25 ekor lembu sebelum diagihkan kepada hampir 5,000 penduduk di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, polis memaklumkan akan memanggil Abu Bakar dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian itu, namun siasatan awal telah dimulakan.

Katanya, siasatan terperinci itu termasuk mengenal pasti jenis senjata dan peluru yang digunakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.