
Ketua pengarah pilihan raya PAS itu, berkata tindakan itu jika mahu dilakukan boleh dibuat lebih awal melalui kaedah mengumpulkan SD bagi membuktikan Abu Bakar hilang sokongan majoriti.
“Itu pilihan dia (Abu Bakar), tetapi sebenarnya bukan tunggu sidang DUN untuk buat undi tidak percaya, di luar dewan juga boleh buat perkara itu.
“Himpun dan hantar SD sebelum sidang DUN boleh dibuat, tak perlu tunggu sidang DUN untuk buat undi tidak percaya,” katanya menurut Sinar Harian, di Alor Setar.
Beliau mengulas laporan Abu Bakar secara terbuka memaklumkan akan membubarkan DUN Perlis sekiranya enam Adun mewakili PAS mengemukakan usul undi tidak percaya pada sidang DUN, bulan depan.
Sanusi ketika mengulas lanjut, berkata pembubaran DUN mungkin menjadi jalan terbaik sekiranya kemelut politik melibatkan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) Perlis gagal diselesaikan.
Kenyataan menteri besar Kedah berkenaan menyusul sehari selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang, berkata parti itu sedang menilai semula pakatannya bersama Bersatu.
Hadi berkata, Bersatu gagal mempertahankan solidariti gabungan sambil memetik krisis politik di Negeri Sembilan serta tindakan Adun Bersatu menarik balik sokongan terhadap menteri besar Perlis ketika itu, Shukri Ramli daripada PAS.
Mereka menuntut penjelasan daripada Abu Bakar berhubung keputusannya menangguhkan sidang DUN, yang pada awalnya berlangsung dari 21 hingga 23 April.
PAS mempunyai enam Adun melibatkan Shukri (Sanglang), Muhammad Azmir Azizan (Santan), Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang), Razali Saad (Simpang Empat), Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer), dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).
Abu Bakar menafikan penangguhan itu disebabkan oleh ketakutan terhadap cubaan menjatuhkan kerajaan, sambil menegaskan bahawa kerajaan PN Perlis kekal stabil.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Perlis Zahid Ibrahim, berkata tiada seorang pun ADUN parti itu yang akan membentangkan usul sedemikian.