
Beliau berkata inisiatif itu melibatkan murid bawah Kementerian Pendidikan (KPM) serta pelajar IPT bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Program baucar buku Madani ini, saya tak ada pilihan. Saya beritahu Kementerian Kewangan, memang sukar dan perit, tetapi soal buku dan pendidikan harus tetap diberi keutamaan.
“Saya tekankan, keupayaan kita hanya untuk sekolah menengah bawah KPM dan universiti bawah KPT,” katanya merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan semua kementerian, khususnya KPM dan KPT, supaya tidak memandang ringan cabaran ekonomi susulan krisis tenaga global.
Beliau berkata semua pihak dalam kementerian perlu memahami keadaan itu, namun penumpuan terhadap mutu pendidikan di sekolah dan universiti mesti diteruskan tanpa gangguan.
“Mustahil RM20 bilion tak boleh dijimatkan. Kita minta menteri, timbalan menteri dan ketua setiausaha kementerian faham isu ini,” katanya.
Anwar berkata walaupun KPM dan KPT memberi penekanan kepada pendigitalan, penguasaan ilmu digital dan kecerdasan buatan (AI), bidang budaya, sastera serta usaha memupuk nilai tidak boleh diketepikan.
Tahun lalu, kerajaan mengumumkan baucar buku kepada kira-kira 400,000 guru, berbeza dengan 2024 apabila bantuan RM100 diberikan kepada murid sekolah rendah bermula Tahun 4, pelajar sekolah menengah dan pelajar IPT.