
JPN berkata, pelaksanaan secara berperingkat itu bagi memastikan ia berjalan lancar serta mengelakkan kesesakan di kaunter.
Bagaimanapun, jabatan itu menegaskan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk menukar dokumen pengenalan diri itu kerana ia hanya akan mula dikeluarkan selepas dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
“MyKad sedia ada masih sah digunakan untuk semua urusan rasmi, termasuk penebusan subsidi dan bantuan kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, JPN berkata, keutamaan pengeluaran akan diberikan kepada pemohon yang telah membuat janji temu melalui Sistem Janji Temu JPN.
Golongan lain yang turut akan mendapat keutamaan ialah pemegang dokumen pengenalan diri versi lama, iaitu Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT), dan MyKad Versi 1 yang tidak mempunyai imej bayang.
“Pemegang KPP, KPT dan MyKad Versi 1 diwajibkan untuk menukar kepada MyKad Struktur Baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Badrul Hisham Alias dilaporkan berkata, MyKad baharu itu akan dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.
Antara ciri keselamatan baharu termasuk turihan laser, ultraungu, hologram, teks mikro serta kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan dan cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.