PAS akan bantu Wan Saiful di mana sahaja bertanding

PAS akan bantu Wan Saiful di mana sahaja bertanding

Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata demikian di ruang komen Facebook milik Wan Saiful Wan Jan, bekas pemimpin Bersatu.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, kata PAS akan bantu bekas pemimpin Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, di mana beliau bertanding.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata partinya akan membantu bekas pemimpin Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, di mana sahaja beliau bertanding pada pilihan raya akan datang.

Fadhli membuat kenyataan itu di ruang komen Facebook milik Ahli Parlimen Tasek Gelugor terbabit.

“Di mana dia bertanding, PAS akan bantu,” katanya Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjawab soalan salah seorang pengguna di hantaran Wan Saiful berkenaan.

Wan Saiful dalam hantaran Facebook itu menjawab persoalan dibangkitkan bekas setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, yang mendakwa Hamzah sebagai punca Bersatu berpecah belah.

Sokongan oleh Fadhli itu menyusul ketika PAS dikatakan sedang mengkaji hubungan dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Presiden Hadi Awang pada 22 Mei lalu memberi amaran kepada Bersatu kesabaran PAS ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti itu yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam PN.

Ahli Parlimen Marang itu berkata antaranya pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem ke PN.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu tidak membuat sebarang keputusan berkait permohonan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) untuk menyertai gabungan itu.

Difahamkan ketiadaan itu susulan bantahan wakil Bersatu kerana khuatir parti baharu berkenaan akan menjadi ‘rumah baharu’ kepada Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN.

Hamzah dipecat Bersatu Februari lalu susulan krisis kepimpinan Bersatu.

Turut berdepan tindakan sama beberapa Ahli Parlimen antaranya Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), dan Wan Saiful.

FMT sedang mengesahkan perkembangan ini dengan Fadhli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.