
Wakil rakyat Jelutong itu turut menyoal sama ada Abu Bakar mempunyai lesen untuk memiliki senjata api.
Abu Bakar beritahu FMT bahawa beliau menembak seekor lembu korban yang didakwa mengamuk, menegaskan tindakan itu diambil demi keselamatan orang ramai.
Bagaimanapun, RSN Rayer menyoal: “Walaupun Abu Bakar mempunyai lesen, adakah beliau tidak tahu bahawa melepaskan tembakan di tempat awam adalah satu kesalahan serius? Mengacu atau mempamerkan senjata api di tempat awam juga merupakan kesalahan serius bawah Akta Senjata, di mana kedua-dua kesalahan boleh dihukum penjara.”
Terdahulu, polis memaklumkan ia akan memanggil Abu Bakar dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Semalam, media melaporkan Abu Bakar turun padang mengetuai proses penyembelihan 25 ekor lembu bersempena program korban perdana DUN Kuala Perlis
Beliau berkata dakwaan di media sosial yang menggambarkan seolah-olah lembu korban disembelih menggunakan kaedah tembakan adalah tidak benar.
Menurutnya, hanya seekor lembu ditembak selepas haiwan itu terlepas daripada ikatan dan mengamuk, manakala 24 ekor lagi disembelih mengikut prosedur biasa.
Beliau menambah, tembakan pada kaki pada haiwan tersebut bertujuan menenangkannya sebelum disembelih.
Pengguna media sosial bagaimanapun mempersoalkan tindakan Abu Bakar yang dilihat menggunakan senjata api untuk menembak seekor lembu korban di kawasan awam terbuka.
Turut dipersoalkan prosedur operasi standard penyembelihan ibadah korban di Perlis, khususnya berkaitan penggunaan senjata api dalam proses tersebut.