AS beri jaminan akan pertimbang jual NSM kepada Malaysia

AS beri jaminan akan pertimbang jual NSM kepada Malaysia

Terdapat sebuah syarikat AS yang mengeluarkan misil yang sama seperti Norway, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin umum AS sedia mempertimbangkan penjualan Naval Strike Missile. (Gambar Facebook)
SINGAPURA:
Amerika Syarikat (AS) memberi jaminan akan mempertimbangkan penjualan Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia, sebagai penyelesaian kepada isu yang dihadapi negara berhubung perolehan sistem persenjataan itu dari Norway.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata perkara itu disuarakan oleh Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth, dalam pertemuan dua hala yang diadakan di sela-sela Dialog Shangri-La (SLD) IISS ke-23, yang berlangsung mulai hari ini hingga Ahad.

Khaled turut memaklumkan kepada Hegseth mengenai isu yang dihadapi Malaysia berkaitan pembelian NSM dari Norway, serta mendapatkan pandangan AS mengenai perkara itu.

“Kita telah meminta pandangan AS bagi membantu mencari penyelesaian kepada isu yang dihadapi, kerana seperti yang sedia maklum, terdapat sebuah syarikat AS yang mengeluarkan misil yang sama seperti Norway.

“Kita telah bertanya sama ada AS bersedia membenarkan penjualan misil itu kepada kita bagi menangani masalah yang dihadapi,” katanya.

Kerajaan Norway sebelum ini dilapor membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.

Menurut laman Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara tentera laut dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.

Dalam pada itu, Khaled berkata AS mencadangkan perkongsian maklumat berkaitan Maritime Domain Awareness (MDA) yang dilaksanakan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Australia Richard Marles bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik.

Kerjasama itu meliputi penubuhan Joint Planning Committee, perluasan perkongsian maklumat serta persiapan menjelang mesyuarat High Level Committee (HLC) Malaysia-Australia, dan Five Power Defence Arrangements (FPDA) akan datang.

Mengenai Kanada, Khaled berkata Malaysia dan negara itu bersedia memperkukuh hubungan pertahanan menerusi kerjasama yang lebih formal.

“Kita mencadangkan supaya diwujudkan satu bentuk kerjasama pertahanan secara formal yang ditandatangani oleh kedua-dua negara, kerana ketika ini kerjasama yang ada tidak berasaskan mana-mana perjanjian,” katanya.

Dialog Shangri-La IISS 2026 yang dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) di Hotel Shangri-La Singapura, menghimpunkan menteri pertahanan, ketua angkatan tentera dan diplomat dari puluhan negara bagi membincangkan isu keselamatan dan pertahanan serantau serta global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.