
Pasangan nombor dua dunia itu menewaskan gandingan Taiwan, Hu Li Fang-Jheng Yu Chieh, 20-22, 21-16, 21-15, dalam perlawanan tiga set yang berlangsung selama 51 minit.
Walaupun meraih kemenangan, Pearly yang kini telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang berulang, mengakui beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi mereka, khususnya dari aspek strategi dan koordinasi di gelanggang.
“Saya tidak begitu gembira secara keseluruhan dengan prestasi kami kerana masih banyak perkara yang boleh diperbaiki dan dilakukan dengan lebih baik daripada perlawanan ini, terutama dari segi strategi serta pergerakan dan rotasi di gelanggang.
“Tetapi sudah tentu saya berasa lega dan juga sangat gembira dapat kembali beraksi di gelanggang serta menamatkan perlawanan hari ini dengan selamat,” katanya di zon campuran Stadium Tertutup Singapura hari ini.
Sementara itu, juara bertahan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mara dengan bergaya ke pusingan pertama, selepas menewaskan adik-beradik dari Perancis Christo Popov-Toma Junior Popov, menerusi kemenangan ‘straight set’ 21-17 dan 21-15.
Gandingan itu menyifatkan ketenangan serta corak permainan yang strategik di gelanggang sebagai faktor utama kemenangan mereka, walaupun berdepan tekanan berterusan daripada pihak lawan yang kerap melakukan pukulan jauh ke garisan belakang.
Turut melangkah ke pusingan kedua, pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang hanya memerlukan 40 minit untuk menewaskan rakan senegara Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, 21-16, 21-19.
Dalam kategori perseorangan, pemain utama wanita negara K Letshanaa gagal meneruskan kemaraan ke pusingan kedua, selepas tewas kepada pemain nombor empat dunia dari China dan juara Olimpik Tokyo, Chen Yu Fei, 21-19, 15-21, 17-21, dalam perlawanan 66 minit, walaupun berjaya memenangi set pertama.
Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki turut berakhir apabila pemain nombor 47 dunia, Justin Hoh, tersingkir selepas tewas kepada pemain nombor empat dunia dari Perancis Christo Popov, 21-13, 18-21, 14-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 62 minit.