JPJ sita kereta mewah bekas pemain bola sepak kebangsaan, pakar motivasi

JPJ sita kereta mewah bekas pemain bola sepak kebangsaan, pakar motivasi

Semua kenderaan itu disita kerana tiada perlindungan insurans dan lesen memanda tamat tempoh.

JAZMANIE SHAFAWI
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Jazmanie Shafawi berkata setakat tahun ini sebanyak 915 kenderaan pelbagai jenama termasuk Porsche dan Lamborghini di sita atas pelbagai kesalahan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kenderaan mewah milik seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pakar motivasi antara 1,814 kenderaan yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Operasi Khas Kenderaan Mewah (Ops Luxury) di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Jazmanie Shafawi berkata daripada jumlah itu, 915 kenderaan pelbagai jenama termasuk Porsche dan Lamborghini dikesan dan disita tahun ini, manakala 899 kenderaan disita tahun lepas.

Katanya, semua kenderaan mewah itu disita kerana didapati melakukan kesalahan antaranya gagal memperbaharu Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Beliau berkata sitaan kenderaan bekas pemain bola sepak kebangsaan itu dilakukan pada awal pagi semalam berikutan tiga kesalahan iaitu ketiadaan perlindungan insurans serta LKM dan lesen memandu yang tamat tempoh sejak Disember tahun lepas.

“Dalam tempoh lima bulan, bekas pemain tersebut masih gagal mendapatkan insurans dan juga LKM yang sah untuk kenderaannya,” katanya pada sidang media di Depoh Sita JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) malam tadi.

Turut hadir Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan.

Jazmanie berkata kenderaan pakar motivasi yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 pula ditahan di Lebuhraya Damansara-Puchong berikutan kesalahan LKM tamat tempoh hampir sebulan, ketiadaan insurans serta masih mempamerkan nombor pendaftaran lama walaupun kenderaan telah dibuat pertukaran nombor.

Beliau menegaskan kegagalan memperbaharu LKM merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak JPJ tidak berkompromi untuk mengenakan tindakan kompaun serta sitaan ke atas kenderaan terlibat.

“Alasan biasa yang dikemukakan pemilik kenderaan ini adalah terlepas pandang, namun ia tidak munasabah kerana aplikasi MyJPJ sebenarnya akan mengeluarkan notis peringatan apabila lesen kenderaan hampir tamat tempoh,” katanya.

Jazmanie berkata penggunaan kenderaan tanpa LKM yang sah mengundang risiko besar kepada pemilik serta pengguna jalan raya lain kerana kenderaan berkenaan tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.