JPJ kembalikan urusan tukar hak milik kenderaan dalam talian, kata Loke

JPJ kembalikan urusan tukar hak milik kenderaan dalam talian, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata penangguhan sistem untuk kerja penambahbaikan dilaksana semasa cuti panjang pada hujung minggu ini.

Anthony Loke Siew Fook
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata beliau menasihati supaya kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak menggangu urusan harian pengguna biasa dan menyebabkan kesesakan besar di pejabat JPJ.
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju mengembalikan perkhidmatan semua urus niaga tukar hak milik kenderaan secara dalam talian yang ditanguhkan sementara bermula hari ini, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke dalam satu hantaran di Facebook berkata beliau berbincang dengan Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkenaan penangguhan sementara perkhidmatan itu seperti yang dilaporkan media.

Katanya, JPJ memaklumkan berkenaan penyalahgunaan dan penipuan yang berlaku dalam sistem pertukaran hak milik yang menyebabkan liabiliti yang perlu ditanggung oleh JPJ.

“Justeru, JPJ perlu membuat penambahbaikan sistem dalam talian pada kadar yang segera.

“Namun, saya menasihati supaya memastikan kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak menggangu urusan harian pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan besar di pejabat JPJ,” katanya.

Menurutnya, JPJ bersetuju untuk mengembalikan perkhidmatan tersebut serta merta dan sebarang penangguhan sistem untuk kerja-kerja penambahbaikan hanya akan dilaksanakan semasa cuti panjang pada hujung minggu ini.

Terdahulu, Aedy Fadly mengumumkan penangguhan sementara semua urus niaga Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara dalam talian, berkuat kuasa hari ini.

Penangguhan itu merangkumi semua saluran digital termasuk portal awam, kiosk, serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd.

Beliau berkata tindakan kawalan serta-merta itu diambil susulan beberapa aduan rasmi dan aduan di media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilakukan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.

Tembahnya, bermula hari ini, semua urusan tukar hak milik kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter pejabat JPJ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.