
Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar, menegaskan,realiti semasa menunjukkan Bersatu yang sebenarnya mengamalkan politik sedemikian sehingga menjejaskan kekuatan blok pembangkang.
“Lihat Bersatu. Kalau seorang individu boleh menyebabkan parti sendiri hilang kekuatan Parlimen, memecat sana sini, menggugurkan ketua bahagian dan menghukum pimpinan hanya kerana tidak sealiran dengan kehendak presiden, itu bukan disiplin parti. Itu politik kuku besi,” katanya dalam kenyataan.
Sukri berkata, PAS sebaliknya membuat keputusan besar melalui proses mesyuarat dan perbincangan dalaman, seperti menerusi Jawatankuasa PAS Pusat serta Majlis Syura Ulama.
“PAS tidak ada politik dendam membabi buta. Tetapi anehnya, PAS pula yang dituduh ‘mullah’,” katanya.
Beliau berkata, Bersatu turut mengamalkan sikap sedemikian dalam PN, seolah-olah ‘mahu semua keputusan mesti mengikut telunjuk mereka’.
“Bila kehendak mereka tidak dipenuhi, tekanan diberi. Bila pandangan PAS tidak sehaluan, label dilempar. Bila PAS bersuara melalui saluran rasmi parti, PAS dituduh tidak setia,” katanya.
Jumaat lalu, Presiden PAS Hadi Awang memberi amaran kepada Bersatu bahawa kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti itu yang didakwa melanggar semangat setiakawan dalam PN.
Susulan itu, sumber dalaman Bersatu mengingatkan PAS bahawa PN ialah sebuah organisasi ditadbir mengikut semangat kerjasama dan persefahaman antara anggotanya, bukan ditentukan oleh seseorang secara mutlak.
“Bercakap tentang hal dalaman kepada orang luar bukanlah caranya. Presiden PAS juga tiada kuasa veto untuk membatalkan keputusan Majlis Tertinggi. PN tidak guna sistem mullah,” kata sumber enggan didedahkan identitinya, lapor Malaysiakini.