Bekalan minyak negara cukup hingga hujung Julai, kata Akmal

Bekalan minyak negara cukup hingga hujung Julai, kata Akmal

Menteri ekonomi berkata kerajaan terus memantau ketidaktentuan melibatkan Selat Hormuz serta kenaikan harga tenaga global.

RON95
Pada April, Petronas mengesahkan bekalan bahan api di stesen-stesennya di seluruh negara akan kekal stabil sehingga penghujung Jun, sekali gus melanjutkan unjuran terdahulu selama sebulan.
PETALING JAYA:
Petronas memberi jaminan kepada kerajaan bahawa stok bekalan minyak negara adalah mencukupi sehingga hujung Julai walaupun gangguan rantaian bekalan global dan ketegangan geopolitik masih berterusan, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasir.

Akmal berkata kerajaan terus memantau ketidaktentuan melibatkan Selat Hormuz serta kenaikan harga tenaga global.

“Petronas memberi jaminan bahawa stok bekalan minyak negara mencukupi sehingga Julai 2026,” katanya dalam taklimat krisis bekalan global.

Pada April lalu, syarikat minyak nasional itu mengesahkan bekalan bahan api di stesen-stesennya di seluruh negara akan kekal stabil sehingga penghujung Jun, sekali gus melanjutkan unjuran terdahulu selama sebulan.

Syarikat minyak nasional itu membekalkan kira-kira 50% daripada permintaan bahan api negara menerusi anak syarikat Petronas Dagangan Bhd, manakala selebihnya dibekalkan syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.

Akmal berkata harga purata minyak mentah antara 18 hingga 22 Mei meningkat 1.7% kepada USD111.67 setong berbanding USD109.85 pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata harga makanan domestik secara amnya masih terkawal antara 18 hingga 21 Mei, dengan perubahan harga antara penurunan 2% hingga kenaikan 3.6%.

Tambahnya, kerajaan akan terus memantau harga dan menggesa pengguna menggunakan aplikasi PriceCatcher untuk membandingkan harga dan membuat pembelian secara lebih bijak.

Kehilangan pekerja meningkat pada April

Akmal berkata seramai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April, meningkat 21% berbanding 5,855 pada bulan Mac, walaupun lebih rendah berbanding Januari iaitu 10,658 dan Februari 2026 sebanyak 7,512.

Bagaimanapun, katanya perkembangan ini perlu diberi perhatian kerana setiap satu angka itu adalah satu keluarga yang hilang punca pendapatan.

Beliau berkata kerajaan akan pastikan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) atau LINDUNG Kerjaya di bawah Perkeso berfungsi dengan pantas untuk membantu mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.