
Hishamuddin yang juga ketua Bersatu Kota Melaka, berkata dakwaan itu bersifat ‘syok sendiri’ dan tidak mencerminkan realiti sebenar akar umbi parti.
“Bekas ketua menteri Melaka, Rahim Thamby Chik perlu berhenti daripada terus berkhayal dan mengeluarkan kenyataan politik bersifat syok sendiri apabila mendakwa kononnya seramai 200,000 ahli Bersatu menyokong gerakan Reset.
“Dakwaan tersebut jelas tidak bersandarkan realiti sebenar akar umbi parti dan hanya memperlihatkan usaha terdesak beliau untuk kembali kelihatan relevan dalam politik nasional,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Rahim bukan lagi suara yang menentukan hala tuju Bersatu dan parti itu terus diperkukuhkan oleh ahli akar umbi yang setia kepada perjuangan serta kepimpinan sedia ada.
“Tindakan beliau meninggalkan Bersatu sebenarnya disambut dengan rasa lega dan gembira oleh ramai ahli akar umbi serta sebahagian besar masyarakat Melaka yang sudah lama melihat beliau sebagai liabiliti politik kepada parti.”
Sebelum ini, Rahim mendakwa lebih 200,000 ahli Bersatu sudah dan bakal meninggalkan parti itu untuk menyertai gerakan Reset yang nama rasminya akan diumumkan tidak lama lagi.
Rahim mendakwa penghijrahan itu berlaku secara semula jadi kerana ahli semakin kecewa dengan budaya dalam parti, bukan kerana dihasut mana-mana pemimpin termasuk bekas timbalan presiden, Hamzah Zainudin.
Hamzah dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu susulan krisis kepimpinan parti diketuai Muhyiddin Yassin itu melancarkan gerakan Reset sehari kemudian. Ahli Parlimen Larut itu dilaporkan akan mengetuai sebuah parti baharu.
Selain Hamzah, antara wakil rakyat dan pimpinan dipecat adalah Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), dan Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).
Bekas naib presiden Ronald Kiandee dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsuddin antara pemimpin digantung keahlian.