PM arah agensi turun padang perluas akses pinjaman peniaga kecil

PM arah agensi turun padang perluas akses pinjaman peniaga kecil

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata masih ramai tidak mengetahui dan memanfaatkan kemudahan pinjaman sedia ada.

ANWAR IBRAHIM-MELAWAT PASAR TANI TAMAN MELAWATI
Perdana Menteri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama penjaja di Pasar Tani Taman Melawati.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi kerajaan dan institusi kewangan berkaitan lebih proaktif turun padang bertemu rakyat bagi menerangkan kemudahan pinjaman serta bantuan disediakan.

Katanya, laporan Khazanah Research Institute mendapati kemudahan pinjaman sememangnya meluas disediakan, namun masih ramai tidak mengetahui atau tidak memanfaatkannya sepenuhnya.

“Saya telah berbincang dengan agensi seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Agrobank untuk turun, jangan minta dia (peniaga) datang ke pejabat.

“Ini tujuannya mesti turun, sampaikan peluang kepada rakyat agar ratusan diberi peluang untuk mendapat pinjaman dengan caj perkhidmatan rendah sekitar RM400 sahaja,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Pasar Tani Taman Melawati.

Anwar berkata, ramai peniaga kecil hanya memerlukan bantuan pinjaman dalam jumlah kecil sekitar RM10,000 hingga RM20,000 untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau turut memaklumkan, kadar bayaran balik pinjaman dalam kalangan peniaga kecil sangat baik, terutama wanita yang hampir mencapai 100% pembayaran semula manakala lelaki sekitar 95%.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan peniaga kecil sebagai golongan lebih banyak bekerja keras daripada mengeluh walaupun berdepan tekanan ekonomi semasa.

“Mereka ini berpeluh sahaja tak mengeluh. Tiada yang berleter dan asyik merengek sepanjang masa, itu hanya orang politik yang tertentu,” katanya berseloroh.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi 2026, dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro.

Kemudahan itu melibatkan pinjaman sehingga RM100,000 dengan kadar pembiayaan bagi skim tertentu serendah 4% setahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.