
Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) diperkenalkan susulan sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan, termasuk rundingan awam dari 12 Feb hingga 31 Mac lalu.
SKMM berkata, CPC memfokuskan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian mengikut umur, termasuk mewajibkan prinsip “safety by design” atau keselamatan melalui binaan dalam perkhidmatan mereka.
Antara langkah diperkenalkan termasuk perlindungan untuk mengehadkan pendaftaran serta pemilikan akaun oleh pengguna berumur 16 tahun ke bawah, selain mengehadkan fungsi tertentu yang berpotensi mendedahkan kanak-kanak kepada risiko kandungan eksploitasi dan memudaratkan.
RMC pula menghendaki penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan, termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan lebih kukuh, mekanisme pelaporan berkesan dan pengesahan pengiklan.
Jelasnya, dua kod itu antara obligasi utama di bawah ONSA bagi memastikan pengalaman digital lebih selamat kepada kanak-kanak dan keluarga, selain untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa dalam berdepan risiko digital semakin kompleks.
“Kod ini menetapkan jangkaan jelas kepada pemberi perkhidmatan untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan,” katanya dalam kenyataan.
ONSA diluluskan pada Disember 2024 untuk memperkukuh tadbir urus keselamatan digital negara serta memastikan platform lebih bertanggungjawab terhadap kandungan dalam talian.