
Pengasas dan Presiden Parti Bersama Malaysia, Tan Gin Theam, secara simbolik menyerahkan sijil pendaftaran parti itu kepada Rafizi dan Nik Nazmi di PJ Performing Arts Centre di hadapan lebih 2,000 penyokong, hari ini.
Antara Ahli Parlimen PKR yang hadir ialah Wong Chen (Subang), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Keputusan mengambil alih sebuah parti sedia ada itu dibuat kurang sebulan selepas Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan dan bekas timbalan presiden PKR, menyatakan beliau sedang mencari jalan terbaik untuk mendesak reformasi, sama ada dari dalam parti mahupun luar.
Rafizi dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi, masing-masing meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi serta menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar, pada Mei 2025.
Tindakan ini dibuat selepas Rafizi kalah dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar pada pemilihan parti tersebut. Rakan gandingannya, Nik Nazmi, juga gagal mengekalkan jawatan naib presiden.
Hubungan Rafizi dengan kepimpinan PKR menjadi dingin selepas pemilihan PKR pada Mei 2025 dan sejak itu bersikap kritikal secara terbuka terhadap kerajaan dan parti.
Sebelum ini, beliau pernah memberi bayangan akan meninggalkan PKR selepas Parlimen dibubarkan untuk mempertahankan kawasan Pandan, malah terselamat daripada usaha menyingkirkannya sebagai ketua PKR Cabang Pandan semasa mesyuarat agung tahunan cabang itu, pada April.
Parti Bersama Malaysia atau Bersama mula-mula didaftarkan di Pulau Pinang pada 2 Dis 2016.
Ia ditubuhkan sebagai kuasa ketiga untuk bertindak sebagai ejen semak dan imbang kepada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.