
Beliau berkata, kenyataannya bukan bertujuan mencampuri urusan parti rakan dalam komponen PN, sebaliknya tidak mahu isu dalam Bersatu termasuk tindakan disiplin yang diambilnya menjejaskan sokongan rakyat terhadap gabungan berkenaan.
“Itu hanyalah pandangan peribadi, walaupun dilihat agak pedih sebagai satu teguran kepada Bersatu bahawa setiap tindakan perlu mengambil kira pandangan parti-parti komponen serta keutuhan PN.”
“Janganlah tindakan yang dibuat akan menghilangkan ahli-ahli Parlimen PN dan menghilangkan sokongan rakyat kepada PN,” katanya kepada FMT.
Selain itu, Tengku Fakhruddin turut mengakui bahawa teguran terhadap rakan dalam Bersatu membuka ruang kepada lawan politik untuk mengambil kesempatan memecahbelahkan gabungan PN.
Namun katanya, beliau berharap isu dalaman melibatkan parti komponen PN dapat diselesaikan secara baik sebelum PRU akan datang.
“Saya sedar risiko yang ada tapi keadaan ini perlu dipulihkan sebelum PRU untuk memberi kekuatan kepada PN,” katanya.
Semalam di Facebook, Tengku Fakhruddin yang juga Adun PAS menyarankan Bersatu meninggalkan PN selepas parti itu mengambil tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin dan wakil rakyatnya.
Dalam hantaran itu, dia menyifatkan tindakan terhadap pemimpin Bersatu sebagai ‘penyembelihan’ demi mengekalkan kuasa.
Kenyataannya itu mengundang reaksi beberapa pemimpin Bersatu termasuk Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah yang membidasnya sambil mengingatkan bahawa kedudukannya dalam politik hari ini adalah hasil kerjasama PN.