
Cadangan Salleh itu menyusul kejayaan kawasan Tamparuli mengadakan pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk 94 kampung baru-baru ini, yang diikraf Malaysia Book of Records sebagai ‘buang undi’ jawatankuasa kampung terbanyak secara serentak.
Salleh berkata, kejayaan Tamparuli mencerminkan kesedaran semakin meningkat terhadap tadbir urus di peringkat akar umbi perlu lebih tersusun, inklusif dan bertanggungjawab, yang berkait rapat dengan konsep kerajaan desa dicadangkannya sebelum ini.
Bendahari Umno Sabah itu berkata, Malaysia mempunyai tiga peringkat kerajaan, iaitu kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan, tetapi banyak isu harian yang menjejaskan rakyat sering terlepas pandang disebabkan proses membuat keputusan terlalu jauh daripada masyarakat kampung.
“Saya mencadangkan enakmen kerajaan desa diperkenal dan diluluskan Dewan Undangan Negeri, bukan sekadar bergantung kepada aturan pentadbiran atau pelantikan politik semata-mata.
“Perundangan yang jelas akan memberikan kuasa, akauntabiliti dan kesinambungan kepada pentadbiran kampung. Ia juga memastikan institusi kampung terus berfungsi secara berkesan walaupun berlaku perubahan politik,” katanya dalam catatan Facebook.
Veteran Umno itu berkata, komponen penting dalam cadangannya ialah pilihan raya kampung.
“Pemimpin yang dipilih secara langsung oleh penduduk akan mempunyai mandat lebih kukuh dan lebih bertanggungjawab kepada komuniti, bukan hanya kepada kepentingan politik tertentu.”
Jelasnya, kejayaan di Tamparuli membuktikan pilihan raya kampung bukan saja praktikal dan boleh dilaksanakan, tetapi mampu memperkukuh kerjasama dan penyertaan masyarakat serta kematangan demokrasi di peringkat akar umbi.