
Beliau yang juga presiden Umno bagaimanapun berkata ia tidak boleh bertanding semua 222 kerusi Parlimen.
“Selama ini pun memang kita bergerak solo, iaitu pada PRU14 dan PRU15. Dalam keadaan akan datang, hampir pasti kita akan bergerak solo.
“Namun, kita ambil kira ‘understanding’ (persefahaman) dengan parti-parti lain (luar BN), khususnya untuk mengelakkan pertindihan kerusi dan pertandingan tiga penjuru,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan wartawan Media Prima sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam, lapor Harian Metro.
Mengulas lanjut, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata pendekatan yang diambil itu selari dengan pengalaman Umno dalam dua pilihan raya, selain mengambil kira perjuangan semasa.
“Kita tidak perlu bertanding semua 222 kerusi. Kita bertanding kerusi yang kita boleh menang dan tidak berlawan dengan parti sahabat. Pertandingan banyak penjuru hanya akan melemahkan peluang mana-mana parti untuk raih kemenangan dominan.
“Jika terlalu banyak penjuru, ini tidak akan menjanjikan kemenangan kepada mana-mana gabungan,” katanya.
Namun tegasnya, parti tidak berkompromi dalam soal prinsip membabitkan kepentingan Islam, institusi Raja dan hak serta bahasa Melayu, iaitu garis asas tidak boleh dikompromi dalam apa jua bentuk kerjasama politik.
“Ia bukan sekadar agenda Melayu atau Islam tetapi agenda nasional termaktub dalam Perlembagaan dan dipersetujui dalam kerangka kerajaan perpaduan,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan landskap politik semasa yang dinamik, Umno juga perlu menyesuaikan strategi dari semasa ke semasa, termasuk membuka ruang kerjasama selepas menyeberang apa yang dirujuknya sebagai ‘jambatan politik’.
Mengenai kedudukan MCA dan MIC, beliau menegaskan, dua komponen itu tidak mempunyai sebarang masalah dalam BN walaupun terdapat desas-desus berhasrat meninggalkan gabungan berkenaan.